KOTA BHARU - 'Jambatan antarabangsa' Sungai Lubok Mulong yang menjadi laluan alternatif pemandu kenderaan dari dua daerah iaitu Kota Bharu dan Kubang Kerian siap sepenuhnya pada Khamis.
Penghulu Mukim Pasir Jelatang, Mohd Nafi Said berkata, pembaikan tebing jambatan itu dilakukan segera berikutan ramai yang menggunakan laluan berkenaan.
Menurutnya, kos keseluruhan baik pulih jambatan berkenaan masih dalam perkiraan pihaknya bersama kontraktor dan akan dimaklumkan kepada agensi berkaitan.
Beliau berkata, pada masa sama pendalaman sungai dan pembersihan tumbuhan sungai serta sampah sarap yang menjadi antara punca kerosakan tebing jambatan turut dilakukan.
"Saya berharap selepas ini penduduk boleh memaklumkan kepada kami jika keadaan sungai kotor dan menjadi tempat pengumpulan sampah bagi mengelakkan runtuhan jambatan," katanya.
Selain itu, pemeriksaan di sekitar jambatan berkenaan tidak menunjukkan kerosakan lain dan selamat untuk pengguna.
Media sebelum ini melaporkan tebing Jambatan Sungai Lubok Mulong di Kampung Jelatang runtuh dan penduduk mengambil inisiatif membaiki sendiri kemudahan itu.
Tebing itu dilihat merekah kira-kira jam 7 pagi Jumaat minggu lalu dan rekahan menjadi semakin lebar sehingga berlaku runtuhan lebih dua meter kira-kira jam 2 petang hari yang sama.
Jambatan itu digunakan penduduk kampung Kampung Pasir Hor, Pasir Seribong, Kampung Pasir Jelatang dan Kampung Rupek.