MELAKA - Kira-kira 390 aduan kepenggunaan diterima Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dalam tempoh Januari hingga awal Disember tahun ini.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pelbagai aduan yang diterima termasuk aduan berkaitan barang kawalan yang disorok, pembelian barangan dalam talian, perbezaan tanda harga dan sebagainya.
Menurutnya, aduan berkaitan dengan penipuan pakej umrah merupakan aduan tertinggi yang diterima membabitkan 25 kes dan kesemua masih dalam prosiding perbicaraan.
Tambahnya, dalam tempoh tersebut juga, dianggarkan 93 peratus aduan pengguna di bawah bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah berjaya diselesaikan dan baki tujuh peratus lagi akan diselesaikan sebelum tahun depan.
"Itu semua boleh dijadikan aduan dan boleh diambil tindakan di bawah kepenggunaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyampaian hadiah Program Fit Pengguna Treasure Hunt sempena Sambutan Hari Sukan Negara 2023 yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin di Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Tuminah Kadi dan Pengarah KPDN Johor, Lili's Saslinda Pornomo.
Dalam pada itu, Norena berkata, kesedaran orang awam tentang hak mereka sebagai pengguna semakin meningkat, namun sikap segelintir yang 'malas' membuat aduan menyukarkan KPDN untuk membuat pemeriksaan seterusnya mengambil tindakan.
"Seperti harga makanan, walaupun ada kenaikan RM0.50 atau RM1 sahaja, namun mereka perlu membuat aduan supaya tindakan susulan boleh diambil.
"Jika mereka tidak mendapat perkhidmatan yang dijanjikan atau dikenakan bayaran tidak sepatutnya, pengguna disarankan untuk membuat aduan kepada tribunal pengguna," katanya.
Program bermula jam 8 pagi itu disertai seramai 123 peserta yang dibahagikan kepada 41 pasukan bagi memberi pengetahuan mengenai kepenggunaan.