PASIR GUDANG - Jawatankuasa Bertindak Mangsa dan Keluarga Gas Toksik Sungai Kim Kim terbuka sekiranya 12 defendan termasuk Kerajaan Johor ingin menyelesaikan kes saman sivil di luar mahkamah.
Peguam jawatankuasa berkenaan, Datuk Kamaruddin Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah penyelesaian di luar mahkamah menjelang prosiding perbicaraan yang akan bermula 22 Januari depan.
"Ada usaha sedang dilakukan pihak-pihak tertentu bagi menyelesaikan kes saman sivil ini di luar mahkamah. Kami terbuka jika persetujuan bersama dicapai. Kes ini juga sudah lama tertangguh sejak difailkan pada 2019.
"Saya dan anak guam akan berbincang semula bagi menetapkan jumlah ganti rugi yang asalnya sebanyak RM30 juta jika persetujuan dicapai untuk menyelesaikan kes saman sivil di luar mahkamah.
"Pastinya akan ada sedikit potongan pada ganti rugi yang dituntut iaitu RM30 juta, jika kes ini mencapai persetujuan diselesaikan di luar mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat kepada mangsa tragedi berkenaan, di Seri Alam pada Sabtu.
Sebelum ini, Jawatankuasa Bertindak Mangsa dan Keluarga Gas Toksik Sungai Kim Kim dilaporkan akan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada 12 defendan termasuk Kerajaan Johor dan Menteri Besar Johor.
Ganti rugi itu membabitkan ganti rugi am dan khas, selain ganti rugi membabitkan tuntutan ke atas Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, mangsa paling teruk terjejas yang kini menderita Myokimia menyebabkan sarafnya terganggu dan terpaksa bergantung pada tongkat, akibat kesan pencemaran sisa toksik pada Mac 2019.
Antara defendan lain yang akan disaman adalah Exco Kesihatan Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan syarikat yang membuang sisa toksik itu.
Jawatankuasa itu mewakili 160 mangsa dalam kes saman sivil membabitkan 120 nelayan, enam orang awam dan 34 pelajar yang pernah dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk Irfan Wafiy.
Kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada 13 Mac 3019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.
Pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di ICU Hospital Sultan Ismail (HSI).
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, kesemua 42 plaintif kes saman sivil sisa toksik Sungai Kim Kim diarahkan membuat pemeriksaan kesihatan dalam masa terdekat.
"Langkah itu penting bagi mengetahui status kesihatan terkini mangsa kes berkenaan sekali gus boleh dijadikan bukti kes saman sivil itu.
"Kita nak tengok tahap kesihatan semua mangsa termasuk plaintif sama ada menghidap penyakit kronik termasuk kanser susulan tragedi sisa toksik Sungai Kim Kim," katanya.
Harap keadilan untuk anak di mahkamah - Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim
Dalam pada itu, mangsa pencemaran toksik Sungai Kim Kim lima tahun lalu mengharapkan perbicaraan saman sivil kes berkenaan akan diberi keadilan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 22 Januari depan.
Ibu kepada salah seorang mangsa pencemaran, Suzana Suarno, 44, yakin pasukan Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik yang diwakili peguam Kamaruddin Ahmad, akan melakukan yang terbaik.
Suzana berkata, anaknya Ahmad Nabil Azlan, 12, yang mengalami kesukaran bernafas dipercayai akibat pencemaran Sungai Kim Kim sehingga kini masih mendapatkan rawatan berkala di HSI.
"Sekarang Ahmad Nabil terpaksa tidur dengan tiga bantal di kepala, itu adalah sesuatu yang tidak normal untuk kanak-kanak seusianya dengannya.
"Ada juga dalam satu masa dia terpaksa tidur dalam keadaan duduk bersandar sebab sukar untuk bernafas. Keadaan dia memang sukar dan sebagai ibu saya sedih melihat keadaannya itu," katanya.
Menurut Suzana lagi, kejadian berlaku pada Mac 2019 ketika anaknya di Darjah Dua, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort di sini, tidak akan dilupakannya.
"Ketika tragedi itu, saya ambil masa enam jam untuk mencari Ahmad Nabil hospital. Memang dalam keadaan yang huru-hara sebab melibatkan banyak sekolah ketika itu. Anak saya terpaksa diwadkan selama tiga malam ketika tragedi itu berlaku.
"Selepas lima tahun berlalu, anak saya yang aktif sukan kini tidak lagi aktif. Sehingga hari ini, Ahmad Nabil masih lagi mendapatkan rawatan dan masih mengikuti janji temu pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di HSI," katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, yang menghidap Myokymia dipercayai akibat tragedi pencemaran itu melahirkan rasa lega, akhirnya prosiding perbicaraan kes akan bermula tidak lama lagi.
"Sebenarnya saya masih sakit dan belum sembuh sepenuhnya selepas tragedi Kim Kim yang berlaku ketika saya berusia 12 tahun.
"Keadaan kaki saya masih sama namun dapat menyesuaikan diri menggunakan tongkat. Walaupun susah tetapi saya perlu teruskan hidup dan laluinya dengan sokongan ibu, ayah dan keluarga," katanya.