ISKANDAR PUTERI - Banyak kajian perlu dilakukan agensi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum memutuskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan negara.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, namun keputusan tersebut sama ada diteruskan atau tidak, diserahkan kepada Menteri Kesihatan yang baharu dilantik Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
"Rujukan kajian boleh dibuat beliau (Dr Zulkefly) sebelum memutuskan pelaksanaannya.
"Saya rasa sudah banyak kajian dibuat pada zaman saya (semasa menjadi Menteri Kesihatan), jadi Dr Dzulkefly boleh sahaja rujuk kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk KKM.
"Dan seterusnya buat keputusan sama ada perkara itu (ganja dalam perubatan) hendak diteruskan atau tidak," katanya ketika ditanya pandangan pelaksanaan penggunaan ganja dalam bidang perubatan negara.
Penasihat Belia Johor itu berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum melancarkan Persidangan Dewan Muda Johor Sesi 2023 di Bangunan Dato' Jaafar Mohamad, Kota Iskandar di sini pada Sabtu.
Pada 25 Ogos tahun lalu, sewaktu menjawat jawatan Menteri Kesihatan pada lawatan kerja di Bangkok Thailand, Khairy memaklumkan kerajaan akan mengambil pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun lalu dan dasarnya akan dilaksana tahun ini.
Namun, langkah itu seolah 'senyap' selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Dalam lawatannya ketika itu, Khairy juga memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan kanabis digunakan untuk tujuan rekreasi di Malaysia.
Pada 9 Jun tahun lalu, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand mengeluarkan kanabis yang mengandungi tidak melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) daripada senarai narkotik yang diharamkan.
Bagaimanapun, pemilikan kandungan yang diekstrak seperti minyak serta hidangan seperti makanan dan minuman mengandungi lebih daripada 0.2 peratus THC, masih diharamkan di Thailand.
THC adalah sebatian psikoaktif utama yang terdapat dalam kanabis.