TAPAH - Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Malim meninggal dunia dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 315.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 6.15 pagi itu, mangsa, Luth Ishak, 34, maut di tempat kejadian selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama tiga rakan lain merempuh bahagian belakang sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa beralamat dari Jalan Sungkai, Bidor ketika kejadian duduk di bahagian penumpang hadapan dan mengalami kecederaan parah.
"Kejadian berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan menuju arah selatan. Tiba di tempat kejadian, lori membawa muatan telur ayam dan kekacang dipercayai telah menukar laluan dari lorong kanan ke lorong kiri.
"Keadaan itu menyebabkan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dinaiki empat lelaki tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori," katanya.
Menurutnya, kemalangan turut menyebabkan dua lagi penumpang pacuan empat roda masing-masing berusia 23 dan 30 tahun parah, sementara pemandu berusia 26 tahun cedera ringan.
"Pemandu lori berusia 56 tahun pula mengalami patah kaki kiri. Kesemua mereka kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tapah," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.
"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh dalam laman Facebooknya menyifatkan kehilangan Allahyarham sebagai kehilangan besar buat seluruh Angkatan Bersatu Anak Muda Perak.
"Dimaklumkan, pada awal pagi ini kami kehilangan seorang sahabat seperjuangan yang amat berdedikasi dan komited dalam amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
"Baru semalam beliau menghubungi meminta bantuan untuk surau di kampungnya yang telah uzur," tulisnya.