RAFAH - Rancangan jahat rejim Zionis memperhebatkan kempen pengeboman ke atas Genting Gaza selama sembilan minggu dengan tujuan untuk mengusir ratusan ribu penduduk Palestin ke Mesir nampaknya tidak berjaya hingga kini.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagaimanapun masih cuba melaksanakan pelan itu selepas kira-kira 2.2 juta penduduk Gaza terpaksa bersesak di kem sementara serba daif di bahagian paling selatan wilayah terkepung itu yang bersempadan dengan Kaherah.
Ketika ini, kira-kira 85 peratus populasi di Genting Gaza hilang tempat tinggal.
Kebimbangan semakin meningkat jika 'tembok sempadan' runtuh dan menyebabkan kebanjiran penduduk Palestin ke Mesir.
Sebelum ini, rejim Tel Aviv menjelaskan kononnya mereka tiada rancangan sedemikian walaupun banyak pihak menjangkakan penduduk Gaza sedang menghadapi Nakba kedua seperti yang berlaku pada 1948.
Kaherah juga berulang kali menolak idea untuk membenarkan penduduk Gaza mendapatkan perlindungan di Semenanjung Sinai.
Imej satelit yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan sebahagian besar penduduk Gaza kini berada dekat dengan sempadan Mesir di kawasan Tel al-Sultan dan al-Mawasi di Rafah.
Perbandingan gambar di kawasan sama pada November juga menyaksikan 'kepadatan' luar biasa setelah IDF mengarahkan pemindahan paksa dari beberapa bahagian di Khan Yunis bermula awal bulan lalu.
Ketibaan musim sejuk bakal memburukkan lagi situasi memandangkan penduduk Gaza hanya berlindung di bawah khemah yang diubah suai dan tidak dilengkapi keperluan asas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kebuluran dan penularan penyakit berjangkit semakin teruk walaupun Rafah antara bandar yang menerima penghantaran bantuan kemanusiaan sejak beberapa minggu lalu.
Sebelum perang ganas itu tercetus, Rafah yang diisytiharkan sebagai 'zon selamat' di bawah peta perpindahan IDF hanya didiami ratusan ribu penduduk dan angka itu terus melonjak sejak akhir-akhir ini.
KAHERAH PERKUKUH SEMPADAN
Sejarah pengusiran penduduk Palestin kira-kira 75 tahun lalu telah menyebabkan negara jiran mereka bimbang jika situasi sama berulang dan Mesir terpaksa menanggung beban tersebut.
Bagi melindungi daripada berdepan senario sedemikian, Kaherah telah memperkukuhkan kawasan sepanjang 12 kilometer yang bersempadan dengan Gaza.
Di beberapa bahagian, pagar sempadan itu turut dilengkapi tembok logam bagi mengelakkan sebarang cubaan memanjat selain penghadang bawah tanah untuk mengelakkan tindakan menggali terowong rahsia.
Menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), Kaherah dilaporkan mengusir ratusan ribu penduduk dan memusnahkan lebih 3,000 struktur di sepanjang sempadan untuk menubuhkan zon penampan antara 2013 dan 2015.
Sejak perang Gaza bermula, penduduk tempatan mendakwa tentera Mesir mendirikan lebih banyak kubu dan menempatkan unit kereta kebal berhampiran sempadan.
Setakat ini, kubu tersebut dikatakan kukuh untuk menghalang kemasukan penduduk Gaza.
Tetapi, ia mungkin tidak dapat bertahan lama memandangkan kempen pengeboman Israel yang semakin sengit hingga menyebabkan golongan itu tidak lagi dapat melarikan diri ke mana-mana kecuali Mesir yang menjadi pilihan terakhir.
Tindakan mengusir orang awam adalah dilarang di bawah Konvensyen Geneva yang membentuk teras undang-undang antarabangsa.
"Jika ia dilakukan di dalam konteks konflik bersenjata, ia adalah satu bentuk jenayah perang," tegas peguam hak asasi manusia antarabangsa, Sheila Paylan.
Selain itu, Statut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga menetapkan pengusiran atau pemindahan penduduk secara paksa disenaraikan sebagai jenayah kemanusiaan. - Agensi