KEUNIKAN seni bina bangunan Melayu dahulu kala seringkali menarik perhatian para penyelidik tempatan dan antarabangsa.
Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan dan Masjid Kampung Laut Kelantan sering dijadikan rujukan kerana kehebatan teknologi pembinaan tanpa mengguna sebatang paku pun. Ia masih tersergam indah dan menjadi monumen rujukan kehebatan senibina Melayu sehingga kini.
Pada suatu sisi lain, masyarakat di Kepulauan Melayu telah memanfaatkan daun sirih (Piper betle L.) untuk mengubati penyakit.
Air kunyahan sirih berupaya membuang panas badan dan bersifat terapeutik dan digunakan dengan meluas dalam perubatan tradisional.
Lebih daripada itu, sirih berfungsi sebagai simbol adat dan ketertiban orang Melayu. Ia mempunyai nilai hospitaliti sebagai pembuka bicara dalam majlis formal ataupun sosial.
Bagaimanapun, pada masa kita berlumba-lumba memasuki dekad kedua alaf ke-21 ini, kesedaran dan kebanggaan terhadap bentuk kearifan tempatan sebegini semakin pudar dan tidak dipedulikan.
Perspektif terhadap maklumat dan ilmu pengetahuan dalam era maya yang menyaksikan dominasi sumber ilmu Barat menjadikan ilmuwan tempatan khuatir tentang relevansi kearifan tempatan kepada generasi muda kini.
Lantaran itu, Kolej Seni Kreatif dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif bersama Program Pengajian Melayu, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Prince of Songkla University (PSU), Thailand menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan di Kepulauan Melayu atau COLLEGA 2023 pada 11 sehingga 13 November lalu.
Persidangan COLLEGA bertemakan"Kreativiti dan Kemampanan” ini turut dianjurkan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan Sekretariat Kearifan Tempatan, Universiti Sains Malaysia.
Persidangan yang julung kalinya menggabungkan empat institusi akademik ini diadakan di kampus utama PSU di HatYai, Thailand.
Lebih 100 kertas kerja dari para pembentang negara penganjur dan negara jiran dipecahkan kepada empat kategori utama untuk sesi pembentangan serentak.
Kategori makalah kearifan tempatan dibahagikan kepada empat iaitu kesihatan dan kecergasan, sains dan inovasi, kebudayaan dan kesenian, dan pemuliharaan.
Persidangan COLLEGA berhasrat untuk menyediakan persekitaran ilmu yang kondusif dengan menggalakkan dialog dan inisiatif jaringan sosial serantau dengan mempertahankan pembangunan dan memperteguhkan kearifan tempatan sehingga mencapai pengiktirafan antarabangsa.
Usaha murni ini dimulakan dengan niat berkumpul untuk berbincang sebagai para sahabat kesepakaran atau kolega yang menjadi jenama persidangan ini.
Penganjur percaya hasilan kreatif dan inovatif dalam konteks kearifan tempatan akan menjadi sinergi negara serantau yang seterusnya mendukung keunggulan dan kehebatan peradaban Melayu yang menganjur dari Lembah Mekong ke gugusan kepulauan di Filipina.
Secara umum, kearifan tempatan adalah pemerolehan pengetahuan melalui aktiviti yang dilakukan oleh kelompok orang di suatu tempat.
Pada dasarnya, kearifan tempatan tersebar melalui amalan dan dikumandangkan secara lisan sejak zaman berzaman.
Kearifan tempatan terhasil daripada pengaruh budaya, bahasa, agama, sosioekonomi, hasil semula jadi dan iklim setempat.
Justeru itu, kearifan tempatan dimanifestasikan dengan sistem dan amalan yang melengkapi kehendak tempatan.
Misalnya, faktor alam semula jadi seperti arus, laut, angin dan bahan mentah menjadikan kapal layar ciptaan orang Melayu lebih mampu bergerak lancar di Kepulauan Melayu berbanding kapal binaan Eropah dan China.
Gagasan kearifan tempatan yang diperkembangkan oleh Clifford Geertz, seorang sarjana Amerika dalam pengajian Jawa pada 1983 menekankan kepada bentuk ilmu pengetahuan yang wujud di sesuatu tempat dan menjadi amalan masyarakatnya.
Sejajar dengan gagasan itu, Profesor Dr. Farok Zakaria dari Kampus PSU Pattani tampil sebagai pengucap utama COLLEGA dengan menggalurkan kehebatan Pattani, sebuah wilayah yang signifikan dalam alam ketamadunan Melayu.
Menurut Farok, Pattani sebagai wilayah di Selatan Thailand telah lama mempunyai teknologi dan kreativiti berasaskan kearifan tempatan. Daun pokok kercut yang subur di tanah Pattani misalnya telah digunakan dengan bijak dan kreatif dalam penghasilan kraftangan negeri Gajah Putih itu sehingga kini.
Selain itu, persembahan kesenian seperti Mak Yong yang turut popular di negeri Kelantan, disifatkan oleh Farok mempunyai manifestasi tersendiri dengan meletakkan elemen tauhid yang tidak disedari orang umum yang melihatnya sekadar tarian tradisional.
Kearifan tempatan dalam seni persembahan warisan Pattani-Kelantan itu telah menjalar sehingga ke Terengganu, Kedah dan kemudian bertapak di Serdang Muda, Sumatera dan Kepulauan Riau.
Walaupun tersebar jauh, identiti drama tari Mak Yong tetap mengekalkan dialek Melayu Pattani-Kelantan sebagai bukti kemapanan budaya tinggi.
Pada tahun 2005, Mak Yong telah dinobatkan sebagai Karya Agung Warisan dan Tidak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kesemua makalah yang dibentangkan pada Persidangan ini ternyata memberi input dan pencerahan tentang kearifan tempatan yang dianalisis dalam pelbagai dimensi.
Antara perkongsian yang menarik adalah tentang kelebihan dakwat hitam Melayu tradisional berbanding dakwat hitam ciptaan Barat.
Abdul Razak Rajabi, Nawal Mash’al dan Mukhtaruddin Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melaporkan eksperimen mereka mencipta dakwat hitam yang digunakan dalam manuskrip lama Melayu.
Penciptaan dakwat hitam tradisional itu dirujuk kepada beberapa kajian terdahulu dan usaha mencipta tidaklah mudah kerana dokumentasi tentang resipi penciptaan dakwat hitam itu tidak tersusun dan biasanya diperincikan secara lisan.
Pengkaji terpaksa membuat banyak penyelidikan dokumen dan lapangan yang agak rinci bagi mendapatkan resipi penciptaan dakwat hitam tersebut.
Hasilnya, dakwat hitam tradisional itu berjaya dihasilkan dan diuji kepada panel penulis kaligrafi tempatan.
Penggunaan bahan asli seperti gam buah gajus, arang dari kulit manggis dan lada hitam dihasilkan dengan merujuk kepada resipi dari Lebai Kassim, seorang pakar dakwat dari Pasir Mas yang diterbitkan dalam tesis sarjana tulisan Wan Ali Wan Mamat pada 1987.
Uji kaji secara kuantitatif dan kualitatif menunjukkan keutuhan elemen karbon dakwat hitam tradisional itu yang memberi jawapan kepada kualiti manuskrip Melayu lama yang masih terpelihara dengan baik di British Library, London.
Penelitian tentang kearifan tempatan juga disoroti oleh para pemakalah terutamanya dalam dimensi budaya dan seni.
Prof. Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman dan para pengkaji dari Kolej Seni Kreatif UiTM dan PSU Pattani melaporkan tentang simbolisme di sebalik struktur persembahan tarian dabus yang popular di negeri Perak.
Tarian dabus unik kerana dalam persembahan itu, para penari akan mencucuk-cucuk anak dabus pada lengan mereka pada fasa tidak sedarkan diri.
Bentuk anak dabus menyerupai sebilah senjata yang runcing dan tajam pada bahagian pangkalnya manakala bahagian hujungnya berbentuk rangkaian bercabang dua, tiga atau empat seakan-akan kelopak bunga.
"Aksi penari mencucuk anak dabus pada lengan mereka sewaktu klimaks persembahan adalah simbolik kekebalan dan keberanian seorang pahlawan. Perlakuan dalam keadaan tidak sedarkan diri berlaku setelah dijampi oleh khalifah.
Apabila selesai persembahan, para penari dipulihkan semula oleh khalifah melalui jampi atau mantera berserta sajian.
Tari dabus pada zahirnya bukanlah sebuah tarian bercorak hiburan semata-mata kerana secara simboliknya ia adalah lambang kepahlawanan Melayu yang membawa nilai kearifan tempatan,” Mohd Kipli memberi kesimpulan kajiannya.
Usaha bermasyarakat bagi melestarikan identiti dan budaya Melayu berorientasikan kearifan tempatan di Thailand adalah antara kutipan menarik yang dibentangkan oleh Kumaree Laparporn dan Abdulhalem Kareng dari Mahidol University dan Padungsat Vitya School, Pattani, Thailand.
Mereka menggalurkan inisiatif untuk merekayasa pembelajaran pelajar Melayu Islam Pattani di sekolah tadika melalui inisiatif komuniti. Permasalahan dalam pembelajaran pelajar cuba diatasi dengan projek"Tadika cemerlang”.
Dengan konsep penyertaan komuniti, Model Patani - Malay Thai Bilingual Education telah menghasilkan kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi kanak-kanak Melayu Pattani dengan memanfaatkan kebolehan dwibahasa dalam pemerolehan pengetahuan dan budaya setempat.
Sesungguhnya Persidangan COLLEGA 2023 di HatYai telah memberi pencerahan kepada peserta dengan menjadi platform dialog dan perbincangan juga menghimpunkan penemuan empirikal dan kritis yang dikongsi melalui penerbitan prosiding dan jurnal berwasit.
Usaha membugar kearifan tempatan akan diteruskan pada tahun hadapan dengan giliran universiti di Malaysia sebagai tuan rumah.
*Mohd Nazri Ibrahim ialah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UITM Shah Alam