TANAH MERAH - Peniaga jagung di Kampung Paloh Hilir, Bukit Panau di sini mengambil peluang menjual pelbagai jenis ubi berikutan tidak dapat menanam jagung sepanjang musim tengkujuh.
Pada musim peralihan Monsun Timur Laut, mereka biasanya akan mengosongkan kebun jagung di sepanjang sungai berdekatan dan hanya menjual jagung dari Cameron Highlands.
Bagaimanapun, bagi menambah pendapatan, peniaga turut menjual pelbagai jenis ubi yang memang menjadi kegemaran orang ramai pada musim hujan.
Peniaga jagung, Rozatul Iffah Ismail, 46, mengambil inisiatif menjual pelbagai jenis ubi termasuk ubi kayu, keledek, ubi keladi dan ubi badak untuk mencari rezeki lebih musim ini.
"Ubi badak paling digemari pelanggan kerana saya boleh menjual kira-kira 500 kilogram (kg) ubi itu dalam beberapa hari sahaja," katanya ketika ditemui di gerainya.
Rozatul Iffah memberitahu, ubi badak turut menjadi pilihan pelanggan berbangsa Cina yang membelinya untuk membuat kuih.
"Alhamdulillah ubi juga menjadi sebahagian daripada rezeki dan pendapatan kami juga bertambah pada musim ini," katanya.
Sementara itu, Jizah Daud, 61, tetap meneruskan jualan jagung tetapi diambil daripada pemborong dari Cameron Highlands, Pahang.
Warga emas itu turut memberitahu jagung dari daerah berkenaan mendapat sambutan pelanggan kerana sedap dan manis.
"Walaupun tidak dapat menanam sendiri jagung pada musim ini, saya tetap menjualnya kerana sudah sinonim dengan kedai ini sejak dahulu," katanya.
Jizah mengambil inisiatif menjual jagung rebus yang memang popular di kedainya sejak dahulu.
Selain itu, beberapa jenis ubi sebagai jualan sampingan menjadi tambahan rezeki ketika hujan lebat dan cuaca tidak menentu.
Jizah menjual ubi yang menjadi pilihan orang ramai iaitu keledek kuning dan ungu serta ubi kayu.