Anwar, pemimpin ASEAN sertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun

Iklan
Anwar (tiga, kiri) berbincang dengan (dari kiri) Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao selepas bergambar bersama pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun pada Ahad. - Foto Bernama

TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, antara acara utama pada lawatan lima hari beliau ke Jepun.

Pemimpin daripada 10 negara anggota kecuali Myanmar, berada di Tokyo untuk sidang kemuncak itu. Sidang itu juga turut disertai Timor Leste.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri menjadi pemimpin ASEAN kelima untuk tiba pada mesyuarat tersebut, dengan Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao menjadi orang pertama tiba.

Kesemua pemimpin negara ASEAN telah disambut Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

Iklan

Sidang kemuncak setengah hari itu bermula pada 9.30 pagi (waktu tempatan) di Hotel Okura dan pada akhir sidang kemuncak itu, para pemimpin akan mengeluarkan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya pada 1.35 tengah hari.

Turut bersama Anwar pada sidang itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan Ketua Pengarah bagi Sekretariat Kebangsaan ASEAN, Datuk Zanariah Zainal Abidin.

Iklan

Sidang itu merupakan kemuncak kepada aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Jepun.

Anwar (dua, kanan) bergambar beramai-ramai bersama pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun pada Ahad. - Foto Bernama

Acara peringatan itu bermula dengan simposium di Jakarta, Indonesia, pada Februari dan di Tokyo pada Mac.

Sepanjang tahun ini, pelbagai acara dan projek telah dianjurkan oleh pihak swasta dan kerajaan bagi memperingati ulang tahun ke-50 itu.

Ini termasuk Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun pada Jun, Mesyuarat Khas Menteri Kehakiman ASEAN-Jepun pada Julai, dan Dialog Khas Menteri Pelancongan ASEAN-Jepun pada Oktober.

Selepas sesi pertama, Anwar yang tiba di sini pada Jumaat, dijangka mengadakan pertemuan dua hala ringkas di luar acara bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh pada 11.20 pagi, sebelum sesi kedua diteruskan pada 11.50 pagi.

Pada sebelah petang, Anwar akan ditemu bual dua media Jepun: Biro Jakarta Asahi Shimbun pada 3.30 petang dan Nihon Keizai Shimbun pada 4:15 petang.

Perdana Menteri bersama isterisnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga akan menghadiri Pre-Gala Commemorative Lighting Ceremony, diikuti dengan majlis makan malam pada jam 7 malam, di hotel yang sama sidang kemuncak itu diadakan. - Bernama