MBSJ pasang cerucuk kawal pergerakan tanah Jalan Wawasan

Iklan
Keadaan di lokasi kejadian di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong.

PUCHONG - Kerja awalan menanam cerucuk dilakukan serta-merta di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada Sabtu.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan langkah penyelesaian sementara yang diambil bagi mengawal pergerakan tanah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim telah mengarahkan agar tindakan segera dan jangka panjang diambil iaitu menutup sementara kawasan runtuhan dengan kanvas.

Mohd Fauzi (tengah) mendengar penerangan berkenaan situasi kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Sabtu.

"Beliau turut meminta kerja-kerja pengukuhan tebing dilaksanakan menggunakan kaedah 'sheet pilling' sepanjang 150 meter.

Iklan

"Selain itu, siasatan dan kajian tanah dilaksanakan segera untuk menentukan reka bentuk pembinaan semula tebing runtuhan," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Ahad.

Mohd Fauzi bersama Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan serta Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Mohd Ariffuddin Kamari telah meninjau lokasi kejadian.

Iklan

Dalam kejadian jam 7.26 malam Sabtu, tujuh rumah terpaksa dikosongkan selepas berlaku tanah runtuh di hadapan sebuah rumah.

Sebanyak empat kenderaan turut terjejas namun tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sebanyak empat kenderaan turut terjejas namun tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

MBSJ berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna MBSJ, Laman Puteri 3 telah mula dibuka sejak hari kejadian bagi menempatkan lapan keluarga yang terlibat dalam kejadian itu.

Kerja pembaikan dijangka ambil masa dua minggu

Kerja penanaman cerucuk melibatkan kawasan runtuhan berdekatan Taman Wawasan, Puchong pada Ahad dijangka mengambil masa dua minggu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, usaha dijalankan untuk memastikan tiada pergerakan tanah di kawasan runtuhan dengan menanam sebanyak 375 cerucuk besi.

"Kerja-kerja penanaman cerucuk besi berkenaan dijalankan bermula kira-kira jam 4 pagi untuk memastikan kawasan runtuhan stabil.

"Usaha dijalankan untuk mengehadkan pergerakan tanah melibatkan kawasan sepanjang 150 meter persegi menggunakan 375 besi cerucuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kawasan runtuhan di Taman Wawasan di sini pada Ahad.

Katanya, selain itu semakan melibatkan beberapa agensi berkaitan turut dijalankan.

"Antara tindakan diambil melibatkan Air Selangor iaitu dengan menutup bekalan air kerana dipercayai paip bawah tanah telah pecah akibat runtuhan berkenaan.

"Kawasan runtuhan juga akan ditutup dengan kanvas bagi mengelakkan ia dimasuki air bagi mengelak pergerakan tanah," katanya.

Mengulas lanjut berkaitan insiden berkenaan, Anbalagan berkata, pihaknya akan menempatkan kawalan keselamatan yang akan berfungsi 24 jam di sekitar lokasi kejadian.

"Kita akan mengadakan kawalan keselamatan 24 jam di kawasan runtuhan sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dijalankan," katanya.

Pada Sabtu, penghuni sembilan buah rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/4, di sini diminta berpindah akibat kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 petang itu turut mengakibatkan empat kenderaan tertimbus.

Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.