SHAH ALAM - Program ‘Sunathon’ anjuran Surau Hamiddean Seksyen 19 dan badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Shah Alam Selatan dibuat secara sederhana, namun cukup bermakna.
Timbalan Pengerusi surau, Amin Abidin, 46, berkata, seramai 29 peserta mengakui tidak merasa takut bahkan teruja dapat menyertai program berkenaan, ditambah pula tajaan sebanyak 50 peratus daripada Ikram, 25 peratus oleh ibu bapa manakala selebihnya bantuan ahli kariah surau.
Menurutnya, penganjuran kali kelima itu dianggap simbolik bagi memastikan anak-anak lingkungan usia tujuh hingga 10 tahun bersunat dengan kos rendah walaupun ia hanya terhad kepada 30 peserta terutamanya bagi golongan B40.
"Proses bersunat akan dilakukan di Klinik Noor Hajar berdekatan kawasan ini juga (Seksyen 19).
"Saya harap anak-anak ini ada kenangan manis buat mereka di sini dan dapat menyambung legasi jawatankuasa surau untuk jangka masa panjang, insya-ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan surau, dekat sini.
Acara dimulakan dengan bacaan doa selamat, ucaptama daripada Yang Dipertua Ikram Shah Alam Selatan, Suhaimi Mohd Daud, penyerahan baucar dan cenderahati serta disusuli acara semburan air oleh anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia, Seksyen 15.
Sementara itu, salah seorang peserta, Muhammad Fahim Nukman Mohd Hairul Rizal, 8, berkata, dia secara rela hati mahu bersunat selepas disuruh ibu bapanya, apatah lagi apabila melihat rakan sekelas turut sama menyertainya.
"Rasa berdebar sikit, tapi saya nak bersunat sebab nak jadi berani.
"Kawan-kawan pun ada sertai, jadi saya tak takut sangat,” ujarnya.