Amanah sasar perbanyak cawangan menjelang PRU16 - Mujahid

Iklan
Mujahid

KAJANG - Parti Amanah Negara (Amanah) beriltizam membanyakkan cawangannya, sekali gus meningkatkan jumlah ahli di seluruh negara bagi mempersiapkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, parti yang kini mempunyai 1,900 cawangan dan lebih 200,000 ahli itu seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan bagi setiap satu pusat daerah mengundi (PDM) di Malaysia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, jumlah cawangan dan ahli yang banyak akan membantu parti berusia lapan tahun itu untuk lebih diterima khususnya ketika membuat rundingan dengan parti komponen lain di dalam Pakatan Harapan untuk mendapatkan kerusi pada PRU16.

"Kita bersiap sedia untuk PRU akan datang. Dalam parti seperti Amanah ini, sangat penting cawangan dan ahli... jadi memang target kita untuk meningkatkanlah cawangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Selangor 2023 di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), di sini pada Ahad.

Iklan

Mengulas mengenai Pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026 yang akan diadakan minggu depan, Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara menyifatkan ia sebagai persaingan sengit, jika mengambil kira jumlah calon bertanding, namun meluahkan keyakinan untuk perwakilan membuat keputusan yang matang.

Seramai 124 calon akan merebut 27 tempat Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah dalam pemilihan parti kali ini termasuk Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu, Mujahid, Naib Presiden, Adly Zahari dan Pengarah Strategi Amanah, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, Amanah merupakan sebuah parti kolektif dan tidak bergantung kepada ikon tertentu untuk menerajui kepimpinannya.

"Kami ini parti kolektif, kita tidak ada ikon dalam Amanah ini, daripada dulu kita bekerja sebagai pasukan jadi tiada yang lebih ikonik daripada sesiapa, parti lain ada seperti PKR ada Datuk Seri Anwar Ibrahim ikonik, UMNO (dahulu) ada Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita tiada, kita kolektif.

"Saya yakin (usaha) meremajakan parti ini adalah tugas semua orang dan ia tanggungjawab besar untuk sayap pemuda, tetapi ia adalah satu proses yang berjalan dan ia berterusan, bukan berkala," katanya.

Menurut perlembagaan parti, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk Presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih oleh perwakilan, dan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut. - Bernama