KOTA KINABALU - Slogan yang dilaungkan Parti Warisan (Warisan) mengenai 'Selamatkan Sabah, sejahterakan rakyat' hanya sekadar retorik dalam politik untuk 'dihidangkan' kepada rakyat.
Ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menjadi hak Warisan untuk membawa pelbagai tema perjuangan dan agenda parti mereka.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, bagi GRS yang penting rakyat kini sudah semakin matang dan lebih melihat kepada hasilnya berbanding retorik semata-mata.
"Kalau mahu sebutkan selamatkan Sabah, saya bagi contoh sebenarnya GRS yang selamatkan Sabah daripada hanya menerima RM53 juta pemberian khas dipersetujui oleh kerajaan Warisan melalui surat Oktober 2019 kepada kerajaan Persekutuan.
"Bila GRS ambil alih, kerajaan secara terus melalui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tulis surat untuk batalkan persetujuan kerajaan negeri dan tuntut jumlah lebih besar.
"Kita berjaya mendapat RM125 juta pada tahun 2022 dan 2023 ini ditingkatkan kepada RM300 juta. Jadi mana yang selamatkan Sabah, RM53 juta, RM125 juta atau RM300 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sabah Street Fashion Show di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya berhubung slogan yang dilaungkan Warisan dalam Perhimpunan Agung parti itu pada Khamis lalu.
Tambah Armizan lagi, tidak pernah ada dalam sejarah kerajaan Sabah mempunyai program khas menyediakan rumah kepada rakyat namun ia telahpun dilaksanakan GRS sejak tahun lalu.
"Kerajaan GRS pada tahun 2022 memperkenalkan rumah mesra SMJ sebanyak 20 unit untuk satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tahun depan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Sabah akan teruskan program itu.
"Semasa kerajaan Warisan tidak ada program bagi rumah kepada rakyat, hanya bergantung kepada kerajaan Persekutuan. Jadi siapa sejahterakan rakyat, Warisan atau GRS," katanya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Papar itu sekali lagi menegaskan GRS tidak kisah dengan agenda atau slogan yang dilaungkan mereka kerana keutamaan gabungan itu adalah untuk tunaikan tanggungjawab dan buktikan kepada rakyat Sabah.
"Kalau mahu cakap sejahterakan rakyat, lihat dulu trek rekod apa yang telah dibuat untuk pembangunan Sabah," katanya.