PONTIAN - Kementerian Kerja Raya akan memastikan projek pembangunan yang diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipercepatkan pelaksanaannya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perhatian serius akan diberikan terhadap projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang masih belum selesai.
"Perdana Menteri sudah memberi peringatan kepada kesemua kementerian terutama Kementerian Kerja Raya, mengharapkan projek-projek pembangunan rakyat yang disenaraikan ini dipercepatkan pelaksanaannya.
"Dengan perkataan lain, beliau (Anwar) ingin saya membantu mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan melibatkan Kementerian Kerja Raya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perlancaran Hibrid baharu nanas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Stesen Mardi Pontian, di sini pada Ahad.
Menurut Ahmad, ketika ini terdapat RM90 bilion yang diperuntukkan untuk projek pembangunan perlu diselesaikan termasuk di bawah Kementerian Kerja Raya mengikut tempoh waktu ditetapkan.
"Bagi Lebuh Raya Pan Borneo dijangka akan selesaikan penganugerahan tender pada suku pertama tahun depan.
"Pada pertengahan tahun ini pakej Pan Borneo Sarawak selesai tetapi di Sabah berlaku perkara teknikal yang menyebabkan tidak sepantas di Pan Borneo Sarawak. Saya akan pastikan projek prasanana untuk rakyat Sabah membabitkan Pan Borneo di negeri itu akan dipercepatkan," katanya.
Ahli Parlimen Pontian yang beralih portfolio daripada Timbalan Kementerian Kewangan I itu, turut berazam untuk melakukan yang terbaik membantu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
"Sekali lagi, saya ingin rakamkan terima kasih atas kepercayaan diberikan Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
"Selama setahun di Kementerian Kewangan, saya diajar dengan baik dalam mesyuarat kabinet saban minggu mengenai hala tuju ekonomi negara," katanya.
Pada 7 Disember lalu, Anwar menggesa supaya pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan, tanpa ada sebarang alasan lagi.
Beliau berkata penegasan itu perlu dilakukan kerana terdapat projek-projek pembangunan untuk kemudahan rakyat di negeri ini tertangguh, antaranya Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini yang mampu memberi bekalan elektrik dan air yang selesa untuk rakyat.
MARDI lancar varieti hibrid nanas MS16 terbaik di Malaysia
Sementara itu dalam program sama, MARDI melancarkan hidbrid baharu nanas MS16 yang berkualiti tinggi dan terbaik pernah dihasilkan.
Nanas MS16 merupakan kacukan induk jenis Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia, mengambil masa 10 tahun dibangunkan MARDI di stesennya di sini.
Pelancaran hidbrid nanas baharu MS16 disempurnakan Ahmad.
Beliau berkata, pelancaran nanas hidbrid baharu MS16 itu dijangka bakal menjadi 'game changer' industri nanas negara dan meningkatkan pengeluaran bagi daerah Pontian.
"MARDI memaklumkan hidbrid baharu nanas MS16 ini adalah varieti terbaik nanas yang pernah dikeluarkan di negara kita kerana rasanya yang sangat enak dan lebih manis.
"MS16 lebih ranggup dan tidak lidas selain purata beratnya adalah 1.5 kilogram (kg) setiap biji.
Malah nanas MS16 adalah varieti yang tahan panas selain toleran kepada penyakit reput teras bakteria yang lazimnya menjadi musuh utama pengusaha nanas di negara ini," katanya.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penanaman nanas jenis berkenaan (MS16) yang dijangka mula memasuki pasaran pada tahun 2025, setelah penanamannya bermula tahun hadapan.
Beliau memberitahu, Johor mempunyai perancangan untuk memasarkan nanas ke negara China.
"Johor juga sedang berusaha sedang meningkatkan tanaman nanas dan yakin nanas MS16 ini menjadi yang terbaik setelah menjalani 10 tahun penyelidikan.
"Pengeluaran nanas Johor tahun lalu merekodkan 402,000 matrik tan melalui keluasan tanaman sebanyak 11,399 hektar dengan nilai eksport sebanyak RM1.2 bilion setiap tahun,” katanya.