'Arwah mama pesan suruh adik sunat'

Iklan
(Dari kiri) Muhammad Zulfadhli Firdaus, Muhammad Akif Rusyaidi dan Muhammad Zulfan Fauzan.

KUALA TERENGGANU -"Masa arwah mama ada dulu adik tak sempat sunat, tapi adik masih ingat mama ada pesan suruh adik sunat," Demikian kata anak kepada bekas wartawan Sinar Harian, Muhammad Zulfadhli Firdaus Ahmad Zamri, 7.

Menurutnya, walaupun ibunya, Allahyarham Rubiah Omar sudah tiada, dia masih mengingati setiap pesanan ibunya yang lebih mesra dipanggil sebagai mama.

Iklan
Iklan

"Kali ni adik bersunat sama-sama dengan abang," ujarnya ketika ditemui sempena program mega sunaton atau berkhatan beramai-ramai yang dianjurkan di Klinik Hijraa Chendering dekat sini bermula Ahad hingga 23 Disember depan.

Sebahagian daripada peserta mega sunaton basah lencun setelah 'dimandikan' air dari trak bomba. Gambar kecil: Wan Muhammad Haziq

Muhammad Zulfadhli Firdaus ditemani bapanya, Ahmad Zamri Sulong, 64.

Iklan

Kanak-kanak itu menyertai program tersebut bersama abangnya, Muhammad Zulfan Fauzan, 11 dan sepupunya, Muhammad Akif Rusyaidi Abdullah, 10.

Sebelum ini, wartawan Sinar Harian, Rubiah yang berusia 39 tahun meninggal dunia pada 24 Disember 2021 kerana mengalami ketumbuhan dalam kepala.

Iklan

Rubiah yang bertugas di biro Terengganu sejak 2009 menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10 pagi di rumahnya di Kampung Gong Pak Maseh di sini selepas menderita ketumbuhan dalam kepala sejak 2016.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak, Wan Muhammad Haziq Sufyan, 7 berkata, dia tidak rasa takut untuk bersunat walaupun belum tahu bagaimana rasa selepas menjalani prosedur itu.

"Saya tak takut sebab kat sini ada ramai kawan-kawan. Lagipun, orang lelaki kena sunat.

"Saya juga seronok masa ramai-ramai kena mandi dan kena sembur air dari trak bomba,"katanya.

Setiausaha bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM, Nazli Amirri Ngah (kanan) menyuapkan pulut kuning kepada peserta program mega sunaton di Klinik Hijraa Chendering, Kuala Terengganu.

Seramai 100 kanak-kanak terdiri dalam kalangan golongan asnaf di sekitar daerah ini menyertai program mega sunaton atau berkhatan beramai-ramai yang diadakan selama enam hari.

Program itu mendapat tajaan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Hijraa Management, ForHim Clinic dan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd bagi membantu mengurangkan bebanan kos perbelanjaan berkhatan bagi kanak-kanak yang kini semakin meningkat.

Antara pengisian pada hari pertama program itu ialah perarakan, agihan cenderahati, sesi suapan pulut kuning dan acara kemuncak gimik perasmian program iaitu semburan air dari trak bomba.