KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal memperkenalkan inisiatif perkhidmatan Van On-Demand di Lembah Klang sebagai pengangkutan alternatif dalam usaha memperkasakan kesalinghubungan pengangkutan awam.
Menterinya Anthony Loke berkata, perincian mengenai pelaksanaan inisiatif itu memberi tumpuan kepada kawasan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan bas awam.
Menurutnya inisiatif itu adalah sebahagian peruntukan RM50 juta bagi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah Belanjawan 2024 akan digunakan untuk membeli van dan pengoperasiannya akan diselia oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
"Konsepnya seperti e-hailing. Perkhidmatan itu tiada laluan khas, namun kita akan tempatkan di kawasan yang strategik," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan, di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan di sini pada Ahad.
Anthony berkata, menerusi inisiatif itu, MOT juga berhasrat agar Prasarana menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan DRT untuk memperluaskan perkhidmatan berkenaan.
Jelasnya, MOT dijangka membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33) berhubung kesalahan memandu di lorong bas pada tahun hadapan sebagai langkah meningkatkan keberkesanan lorong itu serta mengelakkan laluan khas itu terus disalahgunakan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata pindaan itu akan membolehkan pegawai penguat kuasa mengeluarkan kompaun berdasarkan kesalahan yang dirakam kamera pemantauan.
"Sekarang ini kita hanya meletakkan pegawai penguat kuasa seperti polis trafik dan anggota JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) di lorong-lorong bas untuk memastikan tiada pengguna lain salah guna laluan itu.
"Kita menuju ke arah penguatkuasaan pintar iaitu menggunakan alatan pengimbas nombor kenderaan persendirian yang menggunakan laluan bas yang ini akan laksanakan kemudian," katanya.
Anthony berkata, ketika ini MOT akan meneruskan usaha advokasi larangan penggunaan laluan bas bagi kenderaan persendirian dan kaedah itu dijangka diteruskan dalam tempoh setahun sebelum penguatkuasaan saman atau kompaun dimulakan bagi kesalahan itu.