Pendakwah bebas sahkan sudah beri keterangan polis

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Ahmad Husam

ALOR SETAR - Pendakwah bebas, Datuk Ahmad Husam Muhamad Baderudin mengesahkan telah memberi keterangan kepada polis berhubung laporan polis yang dibuat oleh bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zamil Ibrahim.

Ahmad Husam memaklumkan, beliau bersama peguam hadir ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Muda pada petang Jumaat.

Iklan
Iklan

"Saya hadir ke IPD Kuala Muda sekitar 4 petang dan diambil keterangan berhubung laporan polis oleh Zamil ke atas saya. Saya beri kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Beliau tegaskan, semua bukti yang diperlukan diserahkan kepada polis dan tiada keperluan mendedahkan secara terbuka.

Iklan

"Kes ini masih dalam proses siasatan, saya tidak mahu mendahului proses perundangan.

Pada Khamis, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memaklumkan, polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penularan gambar Zamil yang mengaibkan dan tular di laman sosial Facebook dan TikTok.

Iklan

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat laporan polis dibuat Zamil yang mendakwa gambar dirinya memakai boxer diambil secara curi oleh individu tertentu sebagai cubaan mengaibkan dirinya.

Dalam pada itu, Ahmad Husam menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya dan mohon agar siasatan dilakukan terhadap video dimuat naik Zamil yang jelas memfitnah bagi menjejaskan imej dirinya dan keluarga.

"Pada Rabu, video berkenaan tular di media sosial dan Zamil membuat tuduhan itu dengan menyebut nama saya dengan jelas.

"Menerusi video tersebut, Zamil menuduh saya sebagai penangkap gambar beliau yang tular itu namun dia gagal buktikan bahawa saya yang merakam gambar tersebut menggunakan telefon bimbit saya,” ujarnya lagi.

Menurutnya, ia merupakan tuduhan melampau kerana mengaitkan kejadian yang berlaku tiga tahun lalu dengan kes berkenaan.

"Ingin saya jelaskan kekeliruan. Menerusi video berkenaan juga, Zamil menunjukkan gambar saya berdiri dalam bilik yang didakwa ada bersama beliau ketika itu. Sedangkan gambar saya itu diambil daripada Facebook rasmi saya yang dimuat naik pada Disember 2020,” jelasnya.