PUCHONG -"Saya dikejutkan dengan panggilan anak yang beritahu ada pokok tumbang depan rumah, tetapi tidak sangka ia satu tragedi," kata seorang penghuni di Jalan Wawasan, di sini, selepas kediamannya terjejas akibat tanah runtuh pada Sabtu.
Dia yang mahu dikenali sebagai Eliza, 40-an, berkata, ketika itu mereka sekeluarga sedang bersiap untuk solat Maghrib menganggap kejadian pokok tumbang sebagai perkara biasa.
Namun katanya, sebaik keluar lihat satu persatu pokok tumbang menyebabkan pemandangan depan rumah menjadi cerah.
"Kebiasaan depan rumah gelap dengan pokok-pokok ini. Bila semua pokok tumbang, terus saya fikir untuk selamatkan ibu ayah dan empat anak dahulu.
"Bila keluar tengok tanah depan rumah sudah runtuh, saya suruh anak lari keluar dahulu, mak ayah saya keluar melalui pintu belakang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Laman Puteri 3 di sini pada Ahad.
Ujar kakitangan swasta itu, dia sangat terkejut bila lihat dan dengar ada laluan air sungai yang deras di runtuhan terbabit.
Katanya, kami sekeluarga reda dengan kejadian itu dan hanya mahu lihat kediaman terus dalam keadaan baik walaupun satu kereta Honda City milik ibu saya terjunam ke runtuhan itu.
Sementara itu, seorang lagi penduduk dikenali sebagai Angeline, 50-an turut mengakui ini merupakan kejadian pertama kali berlaku sejak dia menetap di kawasan itu 20 tahun lalu.
Jelasnya, kejadia ini diketahuinya selepas tersebar di media sosial Facebook.
"Sini tidak pernah banjir dan tanah runtuh, tapi pokok tumbang ada berlaku baru-baru ini.
"Saya sangat terkejut dengan berita ini. Sangat risau dan kami semua penduduk di sini harap pihak berwajib ambil tindakan dan pemantauan sebaiknya," katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seramai 29 penghuni di sembilan buah rumah teres di Taman Wawasan Puchong, diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, empat kenderaan jenis Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra telah tertimbus.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan satu PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Lama Puteri 3, Puchong.