SEREMBAN - Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu terus berusaha menguatkan parti meskipun kini sudah sebagai pemerintah.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana kekuatan parti yang akan menentukan kemenangan dalam pilihan raya dan bukannya jawatan dalam kerajaan yang dipegang.
"Saya mengambil sejarah UMNO dan BN, mereka parti yang kuat tetapi boleh kalah pada pilihan raya tahun 2018 dan 2022. Jadi berada dalam kerajaan belum tentu parti itu kuat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Sembilan Kali Ke-8 dekat sini pada Ahad.
Beliau mengambil contoh apa yang terjadi kepada Pakatan Harapan (PH) yang baharu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi kemudiannya kalah pada Pilihan Raya Kecil(PRK) Cameron Highland, Semenyih dan Tanjung Piai.
Ujarnya, keadaan itu jelas menunjukkan yang memerintah atau tidak bukanlah penentu kepada kemenangan dan pentingnya kepada kekuatan parti.
"Jadi janganlah apabila sudah jadi kerajaan jadi menteri, jadi timbalan, duduk dalam GLC, kita kurang ambil peduli mengenai parti.
"Ini kerana ia berlainan apabila kita berhadapan pilihan raya, kekuatan parti menentukan kemenangan," ujarnya.
Dalam pada itu beliau menyerahkan kepada perwakilan Amanah untuk membuat pilihan dalam pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sesi 2023 hingga 2026 pada minggu hadapan.
"Terserah kepada perwakilan untuk pilih 27 orang yang kemudian akan tentukan siapakah presiden, timbalan, naib-naib presiden dan semua jawatan kuasa, terserah 100 peratus kepada perwakilan,” katanya.
Seramai 124 calon bersaing merebut 27 tempat ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah bagi sesi 2023 hingga 2026 pada pemilihan yang diadakan serentak dengan Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Klang, Selangor pada 23 dan 24 Disember ini.