KUALA LUMPUR - Jenazah penyanyi terkenal era 80-an, Ibnor Riza Ibrahim akan dikebumikan di Masjid Tengku Ali, Tengkek Batu Kikir, Negeri Sembilan, dijangka selepas solat Isyak pada Ahad.
Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, jenazah Allahyarham Ibnor Riza atau nama sebenarnya Ibnor Riza Ibrahim yang meninggal dunia akibat kanser limfoma itu akan dimandi dan dikafankan di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM).
"Pada ketika ini, jenazah beliau masih berada di HCTM untuk dimandikan dan dikafan seterusnya disolatkan sebelum dibawa terus ke Masjid Tengku Ali, Tengkek Batu Kikir, Negeri Sembilan bagi urusan pengebumian," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Hafiz berkata, seluruh kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menghadapi ujian itu.
Penyanyi yang popular dengan pelbagai lagu hit termasuk Berdiri Seorang Perindu itu menghembuskan nafas terakhir selepas dua minggu bertarung nyawa akibat kanser limfoma.
Media sebelum ini melaporkan Ibnor Riza telah menjalani pembedahan di hospital yang sama bagi membuang air di bahagian kanan kepalanya.
Rabu lalu, penyanyi tersebut sekali lagi menjalani pembedahan kerana terdapat pendarahan pada bahagian kepala.
Beliau dikatakan mula mengetahui tentang kanser dihidapinya itu pada Februari tahun ini, yang sudah memasuki tahap keempat, apabila doktor melakukan pemeriksaan susulan kerana terdapat bengkak di bahagian leher.
Karier seni Ibnor Riza, yang merupakan seorang kakitangan awam, mula menyinar apabila beliau menyertai Bintang RTM pada tahun 1984. Namun beliau benar-benar fokus kepada bidang tersebut pada tahun 1993.
Sepanjang 23 tahun beliau mewarnai dunia seni, Ibnor Riza telah menghasilkan 13 album dan pernah menerima anugerah platinum selepas album The Best of Ibnor Riza terjual sebanyak 25,000 unit.
Allahyarham mempunyai seorang anak perempuan, iaitu Puteri Norizah, 32. - Awani