IPOH - Seorang wanita berjaya diselamatkan anggota bomba ketika dipercayai cuba bertindak terjun dari tangki air di Pasar Awam Bagan Serai di Kerian hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.37 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.
"Setibanya anggota di lokasi didapati seorang wanita dipercayai kurang siuman berusia 39 tahun berada di bahagian atas tangki air dengan anggaran ketinggian kira-kira enam tingkat bangunan.
"Ketua operasi bertindak membantu memujuk dan membawa turun mangsa seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 2 petang dan bergegas ke lokasi itu bersama pihak bomba.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan yang menetap di Kuala Lumpur telah berkahwin serta mempunyai masalah kesihatan mental.
"Wanita itu tiba di Bagan Serai pada 16 Disember menaiki kenderaan awam. Wanita ini mendakwa dia berada di tangki air kerana ingin menyembunyikan diri daripada diganggu orang tidak dikenali," katanya dalam kenyataan malam ini.
Wanita berkenaan dikatakan pernah menetap di Bagan Serai ketika zaman kanak-kanak, kerana arwah bapanya berkhidmat sebagai guru di kawasan itu.
Menurut Juna, wanita itu telah dibawa ke Balai Polis Bagan Serai untuk tindakan lanjut dan dalam proses menghantarnya ke rumah di Kuala Lumpur. - Bernama