LIVERPOOL terlepas peluang untuk kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri tanpa jaringan dengan Manchester United pada Ahad.
Pasukan tuan rumah buntu untuk cuba menembusi pertahanan United dan gagal menggunakan peluang apabila pemain pelawat, Diogo Dalot dibuang padang pada masa kecederaan.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mendominasi pertembungan tersebut, tetapi tidak cukup tajam untuk menjaringkan gol untuk meneruskan rentak kemenangan mereka dalam liga kepada empat perlawanan.
Liverpool menduduki tempat kedua, satu mata di belakang pendahulu Arsenal menjelang pertemuan dengan The Gunners di Anfield pada hari Sabtu.
"Saya melihat banyak perkara yang baik, satu perkara yang saya tidak suka ialah keputusannya. Kami sepatutnya menjaringkan gol.
"Saya tidak ingat persembahan dominan ketika menentang Man Utd, tetapi mereka bertahan dengan penuh semangat," kata Klopp.
Liverpool kecewa selepas gagal menang di tempat sendiri buat kali pertama dalam 12 perlawanan semua pertandingan, bagi United keputusan itu adalah satu langkah ke arah yang betul selepas minggu yang suram.
Walaupun kehilangan kapten, Bruno Fernandes, United menunjukkan semangat yang berbeza berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini.
Kekalahan di laman sendiri kepada Bournemouth hujung minggu lalu, disusuli dengan kekalahan 1-0 kepada Bayern Munich pada Selasa yang mengakhiri cabaran mereka di Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Ten Hag bangga persembahan United
Pengendali Manchester United, Erik ten Hag menyifatkan pasukannya mempamerkan aksi pertahanan hampir sempurna ketika mereka mengikat Liverpool dengan keputusan seri 0-0 di Anfield pada Isnin.
Liverpool mempunyai 34 percubaan ke gawang United, tetapi hanya lapan daripadanya tepat sasaran dan menyaksikan tuan rumah gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan di tempat sendiri buat kali kedua pada 2023.
Ten Hag gembira dengan watak pasukannya terutama apabila berjaya bangkit daripada kekalahan kepada Bournemouth dan Bayern.
Liverpool yang memenangi perlawanan sama musim lalu 7-0 gagal menembusi gawang dikawal penjaga gol, Andre Onana yang melakukan lapan penyelamatan.
Ten Hag percaya walaupun gagal memenangi perlawanan itu, pasukannya mempunyai banyak perkara yang boleh dibanggakan.
"Ia adalah persembahan yang sangat baik. Anda melihat keputusan Liverpool di tempat sendiri dan kemudiannya berjaya mengharungi tanpa bolos.
"Saya fikir kami bertahan sebagai satu pasukan dengan begitu baik. Kami hampir tidak membenarkan mereka sebarang peluang, terutamanya dari permainan terbuka.
"Bola sepak tidak pernah sempurna, tetapi cara kami bertahan, ia hampir sempurna. Apabila kami melakukan kesilapan, sentiasa ada rakan sepasukan untuk menyelesaikannya dan menyokong satu sama lain, untuk menutup satu sama lain.
"Saya rasa itulah kemenangan besar tetapi, kami perlu mengekalkannya. Kami perlu membawa elemen positif ini dalam setiap perlawanan," katanya.
Van Dijk kritik cara permainan United
Dalam perkembangan sama, pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menyelar pendekatan bertahan digunakan Manchester United dan mendakwa 'hanya satu pasukan cuba untuk menang' dalam perlawanan yang berakhir seri 0-0 di Anfield pada Isnin.
Van Dijk kecewa kerana United yang berada dalam prestasi kurang memuaskan memilih corak permainan berhati-hati dan meninggalkan hanya sedikit ruang untuk Liverpool menyerang.
Kegagalan Liverpool untuk memecahkan pertahanan United menyebabkan mereka kehilangan kedudukan teratas dalam Liga Perdana Inggeris apabila Arsenal kembali ke tempat pertama susulan kemenangan ke atas Brighton.
"Jika anda melihat bagaimana kami bermain, kami mempunyai sebahagian besar penguasaan bola dan mencipta beberapa peluang. Hanya ada satu pasukan cuba memenangi perlawanan.
"Kami mahu memenangi setiap perlawanan dan itulah sebabnya ia mengecewakan," katanya.
Van Dijk mengakui dia dapat memahami mengapa United berpuas hati untuk berjaya mengikat Liverpool selepas mengharungi musim yang sukar
"Sudah tentu ia mengecewakan kerana kami lebih hebat dalam semua aspek. Akhirnya mereka pulang dengan satu mata, dan kami kecewa dengan satu mata.
"Jelas sekali mereka tidak berada dalam fasa terbaik. Datang ke sini anda berhati-hati dengan ancaman kami. Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini. Kami perlu belajar daripada situasi tertentu, dan saya tahu kami akan melakukannya," katanya.