PETALING JAYA - Persatuan Wasiat dan Amanah Malaysia (MWTA) akan menganjurkan anugerah ‘The Most Outstanding Holistic Wealth Advisors’ pada tahun depan, sebagai bukti komitmennya dalam meningkatkan standard industri berkenaan.
Presidennya, Datuk Chua Meng Min berkata, pengenalan anugerah itu secara tidak langsung akan menetapkan bar yang tinggi untuk profesionalisme terhadap penasihat dalam industri wasiat dan amanah di negara ini.
"Saya melihat anugerah ini sebagai salah satu cara dalam melengkapkan misi MWTA untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan perancangan harta pusaka.
"Fakta yang mengecewakan adalah, kurang daripada 20 peratus penduduk dewasa Malaysia memiliki wasiat. Sebab itu kita melihat anugerah ini sangat penting untuk dilaksanakan.
"Program itu juga akan disokong oleh Sin Chew Daily sebagai rakan media rasmi, sebagai salah satu kaedah dalam menyebar luas maklumat kepada orang ramai,” katanya ketika berucap pada Forum Membentuk Masa Depan Perancangan Harta Pusaka yang berlangsung di Hotel Sheraton, di sini baru-baru ini.
Program itu dikendalikan moderator yang juga Pengerusi ZICO Trust (M) Berhad, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani dan menampilkan panel berpengalaman termasuk Meng Min, Ketua Pegawai Perniagaan Amanah Raya Berhad, Jack Yap Ngee Heong; Pengarah Eksekutif ZICO Holdings Inc, Chew Seng Kok dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Thinkplus Consulting Sdn Bhd, Ts Dr Norsaidatul Akmar Mazelan.
Tambah Meng Min, forum berkenaan yang julung kali diadakan memperlihatkan komitmen persatuan itu dalam meningkatkan kefahaman serta kepentingan perancangan harta pusaka di negara ini.
Jelasnya, program itu menghimpunkan panel berpengalaman dan pemain industri terkemuka untuk meneroka lebih mendalam tentang aspek penting dalam perancangan harta pusaka.
"Forum ini meneroka dengan lebih lanjut penyelesaian inovatif, termasuk peningkatan platform penulisan wasiat dalam talian dan kepelbagaian pilihan amanah, menangani cabaran serta menjadikan perancangan harta pusaka lebih mudah diakses oleh orang ramai.
"Gesaan juga dibuat bagi pengawalseliaan penasihat dalam industri wasiat dan amanah yang ditetapkan oleh industri insurans hayat pada tahun 1986, bertujuan untuk mencegah salah laku dan menjaga kepentingan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, MWTA telah mengambil langkah penting ke arah penyebaran ilmu dengan menjalinkan kerjasama bersama Pusat Pembangunan Korporat dan Masyarakat Universiti Tunku Abdul Rahman.
Meng Min berkata, persatuan itu berjaya melancarkan satu-satunya kursus dalam talian Sijil Kecekapan Perancangan Harta Pusaka di Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen MWTA untuk melengkapkan profesional dengan kepakaran yang diperlukan dalam perancangan harta pusaka.
"Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program pendidikan dan anugerah ‘The Most Outstanding Holistic Wealth Advisors’ boleh layari laman web kami di mwta.org.my,” katanya.