PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] 17 keluarga Orang Asli di Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang yang terjejas akibat tanah runtuh pada Oktober lalu akan ditempatkan di kuaters kerajaan dan badan berkanun berhampiran.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan penempatan itu akan dilakukan sebaik sahaja isu berkaitan kemudahan fasiliti seperti penyambungan bekalan api dan air diselesaikan terlebih dahulu selewat-lewatnya awal Januari 2024.
"Bagi tindakan jangka panjang, berdasarkan laporan siasatan awal daripada aspek teknikal oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dibuat pada awal November lepas mendapati, kerja-kerja baik pulih cerun yang runtuh akan mengambil masa dua tahun dengan peruntukan melebihi RM3 juta.
"Ini termasuk untuk pengukuhan dan penstabilan cerun-cerun di persekitaran kawasan terjejas yang akan dilaksanakan JKR dan dijangka dapat diselesaikan serta penyerahan projek pada November 2025," kata jabatan itu.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara Datuk Ajis Sittin merayu campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu 88 Orang Asli yang masih tersadai di sebuah dewan, sejak penempatan mereka diancam tanah runtuh 12 Oktober lalu.
Ajis turut kecewa terhadap Jakoa dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang seolah-olah tiada tindakan drastik untuk menyelesaikan masalah itu.