Keputusan laporan JKP Adira, Datuk Red 5 Mac tahun depan

Iklan
Adira (kiri) dan suaminya, Datuk Red.

RAWANG - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini pada Isnin menetapkan 5 Mac tahun depan untuk keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi permohonan cerai penyanyi, Adira Suhaimi terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.

Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar menetapkan tarikh itu selepas prosiding pelantikan wakil JKP daripada kedua-dua pihak selesai.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, hakim syarie ini berharap, kedua-dua pihak dapat bekerjasama.

Sekiranya ada perbincangan untuk berdamai semasa di peringkat JKP, beliau berkata, pihak-pihak dikehendaki memaklumkan perkara itu kepada mahkamah.

Iklan

"Tiada masalah sekiranya pihak plaintif dan defendan mahu berbincang kerana mereka masih bergelar suami isteri.

"Jika ada usaha untuk kembali semula, itu lebih baik dan mahkamah meraikannya," katanya selepas prosiding pelantikan wakil JKP oleh Adira selaku plaintif dan Datuk Red sebagai defendan.

Iklan

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Penyanyi lagu 'Ilusi' berusia 32 tahun dan Datuk Red yang dikecualikan kehadiran di mahkamah telah mewakilkan peguam syarie masing-masing iaitu Nor Saidah Zakaria dan Muhammad Akmal Amzan.

Adira yang juga anak kelahiran Ranau, Sabah ini telah melantik kakaknya, Emma sebagai wakil JKP sementara Datuk Red oleh rakannya yang dikenali sebagai Hadi.

Adira memfailkan penceraian selepas tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Semasa prosiding, Muhammad Akmal berkata, pihaknya berharap mahkamah dapat memberi masa selama enam bulan bagi proses JKP itu, namun Nor Saidah membantah kerana tidak bersetuju dengan tarikh yang panjang tersebut.

Pada 4 Disember lalu, pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini bagi urusan lantikan wakil proses JKP.

Menurut peguam Datuk Red, Adira memfailkan penceraian selepas tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Bagaimanapun beliau berkata, anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan dibuat isteri keduanya itu dan ingin menyelamatkan rumah tangga mereka.

Untuk rekod, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019 namun dia menarik semula permohonan bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira dan Adnan, 42, berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.

Manakala perkahwinan Adnan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.