HARI pengundian bagi memilih 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) semakin tiba.
Pemilihan ini akan dilangsungkan hujung minggu ini, serentak dengan Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada 22 hingga 24 Disember ini di Klang, Selangor.
Kempen dan strategi untuk memikat hati para perwakilan masih dijalankan hingga saat-saat hari akhir pengundian.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang dilihat calon pencabar jawatan utama parti itu berpendapat jawatan dalam kerajaan atau sebagai anggota Kabinet bukan tiket untuk mana-mana calon pemilihan parti itu mendapat lebih sokongan, termasuk bagi lima jawatan tertinggi.
"Orang akan lihat siapa yang lebih beri sumbangan kepada parti dan tidak semestinya dia ada jawatan dalam kerajaan. Kita konsisten dalam perkara itu.
"Jika ada jawatan, itu kelebihan kepadanya, tapi penilaian teras adalah sama ada orang ini boleh membawa parti ke hadapan," katany pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Selangor 2023 baru-baru ini.
Mujahid ialah antara 124 calon bagi merebut 27 tempat dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sesi 2023-2026.
Calon lain akan bertanding ialah Presiden Amanah merangkap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Naib Presiden, Adly Zahari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan Pengarah Strategi merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam konteks jawatan dalam kerajaan ini, Mohamad Sabu menegaskan bahawa Amanah tidak boleh merasa terlalu selesa hanya kerana wakil mereka kini berada dalam Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, Presiden Amanah itu mengingatkan bahawa mana-mana parti sekalipun tidak boleh bergantung kepada kedudukan dalam kerajaan untuk menguatkan kedudukan masing-masing.
"Dalam hal ini, saya mengingatkan ahli Amanah dan rakan-rakan lain supaya memberikan perhatian serius kepada usaha menguatkan parti.
".... kerana (kita) jadi kerajaan, jadi menteri, jadi timbalan (menteri), duduk dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan), maka kita kurang ambil tahu mengenai parti dan ini amat tidak baik untuk parti," katanya selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Sembilan kelmarin.
"Kita sedar kelebihan berada dalam kerajaan, tapi ia belum tentu (jadikan) parti itu kuat... parti mesti ada identiti tersendiri untuk bergerak maju.
"Kami (PH) juga hebat tetapi kalah di (PRK) Cameron Highland, kalah di Semenyih dan Tanjung Piai... itu semasa memerintah.
"Bagi Amanah, kita akan terus berusaha memulihkan semangat bagi memaju dan memperkukuhkan parti," kata Mohamad sabu.
Mujahid yang sebelum ini turut menyatakan kesediaannya memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti jika memperoleh sokongan tertinggi, berkata beliau tidak mempunyai sebarang strategi untuk meraih undi dan menyifatkan persaingan kali ini sengit dalam suasana yang demokrasi.
"Saya kira perwakilan lebih matang untuk memilih siapa yang layak," katanya.
Banyak pemerhati melihat tumpuan pasti diberikan terhadap perebutan jawatan Presiden Amanah. Apakah Muhammad Sabu akan diberi penghormatan untuk terus memimpin parti untuk penggal terakhirnya dan perlahan-perlahan diserah kepada penggantinya secara teratur.
Atau beliau akan diganti dengan Presiden baharu dan nama yang disebut-sebut penggantinya ialah Mujahid.
Kelebihan Mujahid ialah tanpa memegang jawatan dalam Kabinet dan kerajaan, beliau mempunyai banyak masa mendekati akar umbi untuk mempromosikan diri dan wawasannya.
Berbanding Muhamad Sabu yang banyak menghabiskan masa menyelesaikan pelbagai isu kepentingan rakyat terutama di bawah kementerian yang dipimpinnya.
Misalnya banyak isu yang bagaikan tidak kunjung padam seperti kekurangan bekalan telur, masalah permintaan beras tempatan dan kenaikan harga ayam dan sebagainya.
Namun cabaran yang dihadapi Presiden Amanah itu ditangani dengan baik dan berhemah. Kini tidak berbangkit lagi isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang yang sememangnya ada turun naik harganya.
Kira-kira 1,100 perwakilan akan memilih hanya 27 calon daripada 124 nama dalam senarai calon yang akan merebut tempat Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sesi 2023-2026.
Mengikut perlembagaan parti, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih perwakilan dan tiga ketua sayap parti itu. Tempoh seseorang layak memegang jawatan presiden adalah selama tiga penggal berturut-turut.
Ini bermakna pemilihan kali ini adalah penggal terakhir bagi Mohamad Sabu jika beliau terpilih sekali lagi menerajui parti yang berusia lapan tahun itu.
Tidak dapat dipastikan siapa yang akan dipilih oleh 30 anggota tertinggi parti untuk disokong sebulat suara sebagai Presiden Amanah. Ada suara yang mengatakan Mujahid akan dipilih sebab banyak pemimpin yang bakal terpilih dalam senarai 27 pimpinan tertinggi parti itu akan condong memihak kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri selama 22 bulan itu.
Ada kalangan pemimpin yang dilantik oleh Muhamad Sabu menjadi pengerusi agensi kerajaan pun akan memihak kepada kem Mujahid. Dalam hal ini, siapa kawan, siapa lawan dan siapa ‘kawan makan kawan’ akan diketahui tembelangnya.
Dalam dunia politik, semua berkemungkinan akan berlaku. Kedudukan dalam parti memang menjadi idaman pemimpin yang mempunyai cita-cita yang tinggi tanpa mempedulikan kestabilan dalaman. Mereka percaya ahli akar umbi akan ikut apa yang pemimpin kata – tidak ada perpecahan dalam parti.
Sungguhpun Parti Amanah agak berlainan dan pemilihan pemimpin bukan ditentukan oleh perwakilan yang mewakili suara akar umbi, tetapi ditentukan hanya 30 ahli politik yang dipilih oleh perwakilan.
Mahu atau tidak mahu diakui, semua yang ada jiwa politik tetap memburu kedudukan dan jawatan. Memegang jawatan utama dalam parti sudah tentu menjamin kedudukan dalam pentadbiran kerajaan kelak.
Oleh itu tugas 1,100 perwakilan adalah pening untuk memilih 27 calon dalam barisan kepimpinan Amanah. Selepas itu tanggungjawab 27 orang terpilih ini bersama tiga ketua sayap parti untuk memastikan pemilihan presiden dan jawatan lain diberi kepada individu yang benar-benar layak.
Selain itu faktor yang perlu diambil kira ialah mempunyai pengaruh yang kuat untuk menarik lebih ramai rakyat menjadi ahli parti dan menyokong perjuangan Amanah.
Ketika ini, Amanah mempunyai 1,900 cawangan, dengan lebih 200,000 ahli di seluruh negara.
Cabaran paling besar yang perlu dihadapi oleh Presiden Amanah adalah mendapatkan sokongan orang Melayu dan mengubah sentimen pemikiran mereka yang melihat parti itu sebagai alat DAP.
Amanah perlu mencari pemimpin yang boleh menjamin kedudukan parti dalam kerajaan dan boleh menang banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke-16. Inilah cabaran utama jika mahu memilih calon yang layak menerajui parti Amanah.
Umur parti Amanah cukup muda tetapi kehadirannya dalam politik tanah air amat dirasakan sejak lapan tahun lalu. Untuk mengekalkan dan mempertahankan kewujudannya bagi jangka masa yang lama, cabarannya amat besar.