GUARDIAN Malaysia (Guardian) menyasarkan menyediakan 40 juta produk mandian untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di bawah kempen tanggungjawab sosial korporat serantaunya, Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak pada tahun 2024.
Pengarah Pemasarannya, Anna Ng berkata, Guardian Malaysia berjaya menyediakan 20 juta produk mandian tersebut pada tahun ini dan ia disokong pelanggan yang membantu meraih pencapaian 100 peratus dalam menyediakan produk tersebut.
"Kami menyediakan 20 juta produk mandian untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di rantau ini khususnya Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Kemboja pada tahun 2023.
"Sebanyak 40,000 botol produk mandian telah disumbangkan kepada kanak-kanak di Malaysia pada 2023.
"Hasil daripada pencapaian ini, kami menyasarkan penyediaaan 40 juta produk mandian iaitu dua kali ganda berbanding pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Anna Ng berkata, selain menyediakan produk penjagaan mandian, Guardian juga akan menganjurkan Bengkel Kebersihan Interaktif di sekolah-sekolah di mana pelajar akan diajar mengenai amalan kebersihan yang baik.
"Di bawah kempen berkenaan, 15 sen daripada setiap liter produk penjagaan mandian Guardian yang dijual di Malaysia akan disumbangkan untuk membeli produk mandian untuk kanak-kanak kurang berkemampuan ini. Selain itu, patung beruang Guardiancares akan dijual pada harga RM29.90 sahaja.
"Pada tahun 2024, Tuala Berhud Beruang Guardiancares istimewa juga akan dijual pada harga RM29.90 di semua stor Guardian di seluruh Malaysia dan boleh dibeli menerusi stor dalam talian dan aplikasi mudah alih Guardian,” katanya.
Anna Ng berkata, semua hasil jualan Patung dan Tuala Berhud Beruang Guardiancares akan disalurkan ke dana #guardiancares untuk menyokong keperluan penjagaan mandian kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.
Sementara itu, Anna Ng berkata, Guardian turut menyumbangkan produk mandian kepada kanak-kanak Yayasan Sunbeams Home di Petaling Jaya.
Mereka adalah penerima sumbangan pilihan pemenang peraduan Face of Healthy Beauty Guardian 2023, Kay Yap Yen Yin.
Salah satu daripada hadiah yang dimenangi oleh pemenang ialah sumbangan produk Penjagaan Mandian Guardian bernilai RM5,000 kepada pertubuhan kebajikan pilihan mereka.
Fasa kedua #Guardiancares Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak akan bermula pada 27 Disember 2023.
"Kami sangat berharap agar pelanggan akan terus menyokong kempen ini yang bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar ini. Kami berharap usaha ini akan terus memainkan peranan utama dalam menjaga kebersihan dan kesihatan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia dan di seluruh rantau ini,” kata Ng.