JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sudah diarahkan memantau aktiviti ceramah di sekolah susulan tular video membabitkan pempengaruh media sosial yang menimbulkan rasa kurang senang.
Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, satu sesi libat urus membabitkan pegawai penyelaras di sektor pengurusan dan pembangunan murid berhubung isu terbabit turut akan diadakan bagi membincangkan isu tersebut.
"Saya ambil maklum perkara ini (pempengaruh media sosial beri ceramah di sekolah). Saya telah minta JPNJ memantau aktiviti ceramah di sekolah-sekolah.
Norlizah berkata demikian sebagai maklum balas kepada pengguna platform X, yang memohon JPNJ untuk menyekat penceramah tular di sekolah.
"Mohon JPN Johor 'ban' terus penceramah yang tengah viral tu. Sebab bila tengok video-video dia di Instagram (IG)/TikTok, most sekolah yang dia pergi adalah sekolah Johor.
"In the first place, macam manalah sekolah-sekolah boleh panggil orang macam dia bagi ceramah? Takkan pakai tangkap muat je?," soalnya.
Menerusi video berdurasi 15 saat itu, seorang pelajar perempuan datang kepada pelajar lelaki dengan berjalan seperti model atau 'catwalk' untuk memberikan 'flying kiss'.
Perbuatan itu disambut pelajar lelaki yang dilihat cukup teruja sehingga 'menggelupur' selain turut disambut sorakan pelajar lain di dalam dewan tersebut.