ALOR SETAR - Seorang pembantu kedai menjual santan kelapa yang disyaki terlibat dalam 24 kes pecah rumah di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu sejak September lalu berjaya dicekup polis.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abu Samah Mohd Noor berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu merupakan suspek utama ditahan di sebuah premis perniagaan menjual santan kelapa di Kubang Pasu, pada Rabu lalu.
Menurutnya, penahanan suspek itu dilakukan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah di Jalan Jalai Jaya, Kepala Batas, Jitra pada 10 Disember lalu melibatkan kerugian berjumlah RM10,000.
"Hasil siasatan lanjut kemudiannya telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 37 tahun di sekitar Kubang Pasu yang disyaki berperanan sebagai pembeli barangan hasil pecah rumah.
"Polis berjaya menyelesaikan 24 kes pecah rumah di dua daerah berkenaan dengan penahanan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Isnin.
Abu Samah berkata lagi, beberapa barangan dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah dilakukan suspek turut dirampas antaranya 75 telefon bimbit pelbagai jenama, empat Ipad, 92 jam tangan, 50 cincin, 36 gelang, empat pasang butang baju uniform tentera dan satu beg mengandungi siling pelbagai jenis.
Tambahnya, polis turut merampas sebilah pisau bersarung bersaiz 20 sentimeter (cm) yang diselit di pinggang suspek. Suspek ditahan reman sehingga Rabu.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dengan niat mencuri serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.