MELAKA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka akan terus melaksanakan pemeriksaan kad pengenalan (MyKad) di kawasan tumpuan ramai untuk menangani kegiatan kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan orang lain.
Pengarahnya, Norazlee Sulaiman berkata, menerusi Ops Bintang itu pihaknya akan memeriksa MyKad orang ramai contohnya di kawasan perniagaan supaya pengunjung dan peniaga memandang serius isu pemalsuan dokumen tersebut.
Menurutnya, sekali gus memastikan rakyat lebih cakna dan tidak menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan milik orang lain.
"Sebanyak tiga kes direkodkan atas kesalahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan orang lain di bawah Perkara 25(1)(e).
"Terdapat dua kes mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu kelahiran di bawah Perkara 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Tambah Norazlee, hasil operasi selama tiga jam di Uptown Klebang pada Jumaat lalu, mendapati tiga peniaga berusia lingkungan 30-an dan 40-an didapati tidak membawa Mykad dan diberi amaran tegas untuk sentiasa membawa dokumen penting itu.
"Seramai 30 anggota JPN terlibat melakukan pemeriksaan MyKad di lokasi tu bagi tujuan mendidik masyarakat," katanya lagi.