Pertumbuhan media digital galak pelaburan tempatan, antarabangsa - Fahmi

Iklan
Fahmi (lima dari kiri) melancarkan OK Vision. Hadir sama, Vincent Tan (empat dari kiri) dan Pak Hary Tanoesoedibjo (lima dari kanan). - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan industri media digital di negara ini akan mendorong kepada peningkatan pelaburan dalam infrastruktur teknologi dan komunikasi di dalam dan luar negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

"Populariti perkhidmatan penstriman digital semakin meningkat. Kedua-dua platform tempatan dan antarabangsa mempunyai kedudukan yang ketara dalam pasaran Malaysia.

Fahmi (tengah) melihat paparan OK Vision selepas melancarkannya hari ini. - Foto Bernama

Iklan
Iklan

"Perkhidmatan ini menyumbang kepada transformasi digital industri media dan hiburan dengan menawarkan kandungan atas permintaan kepada pengguna,” katanya pada majlis pelancaran OK Vision, perkhidmatan televisyen berasaskan pelanggan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif MNC Group Hary Tanoesoedibjo dan Tan Sri Vincent Tan, pemegang saham utama dalam U-Telemedia Sdn Bhd, syarikat induk Ansat Broadcast.

Iklan

Platform media digital yang popular termasuklah perkhidmatan penstriman, laman web berita, platform media sosial dan penyedia kandungan dalam talian yang lain.

OK Vision, usaha sama antara Ansat Broadcast Sdn Bhd dan konglomerat Indonesia MNC Group, secara bersama menawarkan perkhidmatan pengedaran kandungan televisyen untuk pelanggan di Malaysia.

Iklan

Fahmi berkata, platform media digital adalah penting kepada ekonomi Malaysia, menyumbang kepada penjanaan hasil, pekerjaan, inovasi dan daya saing global.

"Berdasarkan ekosistem digital yang terus berkembang, impak ekonomi media digital dijangka meningkat, seterusnya membentuk kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital global,” katanya.

Beliau berkata, usaha sama itu menjadi bukti kepada kekuatan kerjasama merentas sempadan, menggalakkan pertukaran kepakaran dan kreativiti.

"Kementerian menghargai Ansat dan MNC Group atas visi dan dedikasi mereka dalam menghasilkan platform ini, menyumbang kepada pertumbuhan industri media Malaysia.

"Kementerian Komunikasi gembira menyaksikan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat, mencerminkan komitmen untuk memajukan landskap media digital di Malaysia,” katanya. - Bernama