KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa perlu diberi masa untuk mempertimbangkan gesaan DAP supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan di ibu negara, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi yang merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, ini berikutan Dr Zaliha baharu sahaja dilantik ke jawatan itu baru-baru ini dan isu tersebut memerlukan penilaian yang sewajarnya kerana ia melibatkan keputusan dasar utama.
"Saya fikir sekarang kita perlu memberinya sedikit masa, beliau baru sahaja memegang jawatan itu. Saya telah bercakap dengannya secara ringkas pagi ini.
"Ini adalah keputusan dasar utama dan tidak boleh dipandang ringan. Saya percaya kita mempunyai proses dalaman yang perlu kita lihat secara keseluruhan," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran OK VISION di sini hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata, Pesuruhjaya Bangunan (CoB) telah memaklumkan bahawa 95 peratus hartanah strata di seluruh Kuala Lumpur tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka pada 2018.
"...dan kira-kira 97 peratus gagal menyerahkan akaun kewangan mereka yang telah diaudit untuk 2018. Ini adalah isu yang sangat serius yang kita hadapi dan ini bukan sahaja berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi pilihan raya hyperlocal," katanya.
Fahmi berkata, Dr Zaliha perlu diberi masa untuk mempertimbangkan keseluruhan keadaan kerana beliau juga perlu meneliti perkara itu untuk Putrajaya dan Labuan.
Semalam, media melaporkan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasinya.
Kok Wai berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan. - Bernama