Askar IDF lancar 'perang psikologi'

Iklan
Beberapa askar IDF mahu membakar bekalan makanan milik penduduk Gaza yang dijumpai mereka.

GENTING GAZA - Ketika kempen pengeboman ke atas Genting Gaza terus diperhebatkan, askar Israel turut melancarkan 'perang psikologi' dengan melakukan vandalisme dan merosakkan harta benda serta premis perniagaan di seluruh kawasan kejiranan di wilayah terkepung itu.

Rakaman video memaparkan perbuatan ganas dan provokasi melampau mereka kononnya bertujuan menghapuskan Hamas menjadi tular dan mengundang kecaman banyak pihak.

Iklan
Iklan

Salah satu insiden 'rompakan' secara terang-terangan, seorang anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menceritakan rancangannya mahu membawa pulang rantai perak dari Gaza untuk dihadiahkan kepada kekasihnya manakala rakannya mencuri permaidani dari sebuah rumah penduduk Palestin.

Menerusi catatan di Facebook, seorang lagi anggota IDF dengan bangga merampas alat solek untuk dibawa pulang ke Tel Aviv kononnya sebagai 'cenderahati dari Gaza'.

Iklan

"Sejak dari dahulu, rejim Zionis melakukan vandalisme ke atas rumah penduduk Palestin yang diceroboh mereka.

"Ia boleh dilihat ketika Hari Nakba dan peperangan berturut-turut untuk menduduki tanah bersejarah Palestin pada awal 1980-an dan pencerobohan secara berterusan ke atas wilayah tersebut. Tingkah laku menjengkelkan itu semakin berleluasa.

Iklan
Unit infantri IDF turut menconteng dinding rumah penduduk Palestin.

"Mereka sengaja meninggalkan contengan grafiti memaparkan bahasa kesat, buang air besar di dapur dan merompak barangan berharga. Tanggapan banyak pihak kononnya anggota IDF berdisiplin adalah mitos semata-mata.

"Sebahagian besar askar mereka adalah anggota tentera simpanan yang terdiri daripada puak pelampau Yahudi dan penyokong kuat Zionisme," kata ahli akademik dan penyelidik di University of Exeter, Laleh Khalili.

Salah sebuah klip video memaparkan perbuatan mencuri dilakukan rejim Zionis dan menjadi tular di media sosial.

Sementara itu, wartawan, Murtaza Hussain berkata, klip video memaparkan askar IDF tiada moral itu sebenarnya bertujuan untuk melemahkan semangat penduduk Gaza.

"Mereka tidak sedar tindakan sedemikian sedikit sebanyak menghantar isyarat negatif kepada komuniti antarabangsa dan mencemarkan imej IDf yang diangkat sebagai tentera gaya Barat yang sangat profesional," sindirnya.

Musnahkan kubur

Analisis imej satelit baharu dan rakaman video oleh The New York Times juga menunjukkan perbuatan biadab rejim Zionis yang sengaja merosakkan atau memusnahkan enam kawasan tanah perkuburan ketika kempen pencerobohan dilancarkan di utara Gaza.

"Mereka melakukan tindakan itu semata-mata mahu menempatkan kedudukan sementara tentera. Kenderaan tentera Israel tergamak menyebabkan kemusnahan pada pusara pada awal bulan lalu," dedah laporan akhbar tersebut.

Selain itu, imej satelit juga menunjukkan jejak baharu kenderaan tentera rejim Zionis di tanah perkuburan al-Faluja di kawasan kejiranan Jabaliya di Bandar Gaza.

Sebanyak enam kawasan tanah perkuburan dirosakkan atau dimusnahkan sejak beberapa minggu lalu.

IDF dengan selamba turut menubuhkan pos tentera di sebuah kawasan pusara di Beit Hanoun di utara Gaza.

Lokasi serupa diceroboh anggota IDF adalah di kawasan kejiranan Sheik Ijlin dan Beit Lahia.

Tindakan memusnahkan tanah perkuburan di Gaza itu didedahkan ketika undang-undang konflik bersenjata menetapkan perbuatan memusnahkan tempat keagamaan secara sengaja dan bukan untuk tujuan operasi ketenteraan sebagai 'jenayah perang'. - Agensi