Habib Haroon sah tinggalkan TFC

Iklan
Habib Haroon - Foto: Terengganu FC

KAPTEN pasukan Terengganu FC (TFC) Habib Haroon sah tidak bersama kelab itu bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selepas dua musim mengemudi jentera tengah TFC, pemain kelahiran Bahrain itu mengakui beliau memilih untuk beralih angin ke kelab lain bagi menimba lebih pengalaman dan peluang di tempat baharu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu belum bersedia mendedahkan hala tujunya musim depan memandangkan kontrak bersama skuad Penyu belum tamat sehingga hujung tahun ini.

"Ini adalah antara musim yang menakjubkan. Saya telah mengabdikan hidup saya di sini dan saya sangat menyayangi pasukan ini (TFC) dan akan sentiasa menyayangi mereka," katanya.

Iklan

Walaupun bakal berkelana, Habib berkata, dia akan tetap merindui peminat bola sepak Terengganu yang disifatkan sebagai antara penyokong kelab terbaik di negara ini.

Oleh itu beliau berharap dapat kembali beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) suatu hari nanti kerana bumi Terengganu dianggap sebagai rumah keduanya.

Iklan

"Sejak awal kerjaya saya, saya tidak pernah berasa disayangi peminat seperti yang ditunjukkan oleh peminat di sini. Terengganu akan sentiasa di hati saya. Saya tidak akan pernah melupakan mereka,” katanya.

Habib memulakan kariernya di TFC pada 2021. Beliau antara watak penting yang membawa skuad Penyu ke pentas akhir Piala FA pada 2022 dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.

Selain itu beliau turut membantu TFC layak ke Piala AFC 2023. - Bernama