KHARTOUM - Mahkamah Sudan menjatuhkan hukuman mati terhadap 29 pegawai risikan kerana mendera sehingga menyebabkan kematian seorang guru.
Ahmad Al Khair, 36, meninggal dunia dalam tahanan Februari lalu setelah ditangkap kerana terlibat dalam bantahan terhadap pemerintahan Presiden Omar Al Bashir ketika itu.
Ia adalah hukuman yang pertama dikenakan terhadap aktivis prodemokrasi ketika itu sebelum Bashir ditundukkan pada April.
Mahkamah mendapati bahawa Ahmad Al Khair telah dipukul dan diseksa sehingga mati oleh pegawai-pegawai di sebuah pusat tahanan di bahagian timur Kassala.
Selepas hukuman, hakim meminta saudara Al Khair, Sa'd, sama ada dia mahu lelaki itu diampunkan, namun dia mahu mereka dihukum mati.
Begitupun peguambela akan melakukan rayuan berhubung kes tersebut.
Di bawah pemerintahan bekas Presiden Bashir, Sudan menguatkuasakan hukuman mati dan dua orang telah dihukum bunuh pada 2018.
Kes Ahmad Al Khair menarik perhatian luas di Sudan dan kematiannya telah menyemarakkan lagi protes terhadap Bashir yang berusia 75 tahun. Orang ramai berkumpul di luar mahkamah di Omdurman, Khartoum untuk mendengar keputusan itu.
Sekurang-kurangnya 170 orang terbunuh ketika gerakan protes itu berlangsung selama sebulan dan Bashir akhirnya digulingkan oleh tentera selepas 30 tahun dia mengambil alih dalam rampasan kuasa. - Agensi