Tanya pembangkang kenapa masih soal isu peruntukan - Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan peruntukan sudah disalurkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri itu.

Bagaimanapun menurutnya, peruntukan yang diagihkan itu tidak sama dengan ADUN mewakili kerajaan.

Iklan
Iklan

Beliau juga mempersoalkan motif pembangkang yang terus memainkan isu berkaitan pengagihan peruntukan terutamanya melalui media sosial.

"Kalau saya agak nanti tak betul pula, jawapan yang tepat kena tanya dia orang (ADUN pembangkang). Pergi tanya dia pasal apa dok (asyik) tanya pasal peruntukan, padahal kita sudah bagi.

Iklan

"Tapi, tak boleh bagi sama dengan kerajaanlah, nama pun pembangkang kan?" katanya ketika ditemui pemberita selepa majlis penyerahan kunci rumah Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Bendahari Pas Pahang, Shahril Azman Abd Halim berkata, kerajaan Pahang gagal mematuhi titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar peruntukan yang adil diberikan kepada wakil rakyat pembangkang dan tindakan itu sangat dikesali.

Iklan

ADUN Jengka turut berpandangan, adalah lebih sesuai jika peruntukan diagihkan melalui wakil rakyat dipilih, bukannya melalui penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, tindakan kerajaan Pahang mewujudkan jawatan penyelaras DUN juga menimbulkan persoalan kerana kebanyakannya adalah pemimpin UMNO yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada sidang DUN 5 Disember lalu, Ketua Pembangkang Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan kerajaan negeri ada menyalurkan bantuan ketika Ramadan dan peruntukan pembangunan di kawasan diwakili pembangkang.

"Dia (kerajaan Pahang) bagi lah sikit (peruntukan) baru ini, tapi ia bukanlah seperti dihasratkan Tuanku. Cadangan (titah) Tuanku supaya peruntukan kepada ADUN pembangkang diberi sama rata sebagaimana ADUN kerajaan.

"Pahang bagi dekat Ramadan RM5,000 dan baru-baru ini RM30,000 untuk projek di kawasan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, kerajaan Pahang tidak pernah bersikap pilih bulu dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Jelasnya, siapa sahaja yang layak akan memperoleh bantuan tanpa mengira kawasan mana.

"Macam rumah untuk nelayan inilah, siapa yang memerlukan bantuan, siapa yang layak mereka dapat (bantuan), tak kiralah di kawasan mana sekali pun," ujarnya.