MELAKA - Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menambah kekurangan guru Tingkatan Enam di negara ini.
Presidennya, Juhari Md Noor berkata, ia termasuk membuka peluang guru Gred 41 untuk ditempatkan sebagai guru Tingkatan Enam.
Menurutnya, kebanyakan sekolah berhadapan dengan kesukaran mencari guru Tingkatan Enam sekiranya berlaku kekosongan kerana syarat sedia ada mensyaratkan Gred 44 dan perlu dari aliran perdana.
"Kita membuat gesaan ini melalui Persidangan Perwakilan DwiTahunan Kongres Kali 21 yang telah diadakan.
"Kongres juga menggesa isu kenaikan gaji guru segera dilaksanakan mengambil kira beban tugas sedia ada," katanya.
Juhari berkata demikian selepas Persidangan Perwakilan DwiTahunan Kongres kali ke-21 yang di sempurnakan oleh Timbalan Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Rosli Abdullah di Hotel TF Riverside, Kampung Jawa, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Rosli menggesa warga guru terlibat aktif di dalam mana-mana kesatuan sebagai wadah kebajikan serta menyuarakan idea dan pandangan demi kebaikan pendidikan negara.
"Saya juga menyeru kesatuan-kesatuan guru sedia menyumbang buah fikiran dan idea yang bernas untuk memajukan sistem pendidikan negara," katanya.
Tambah beliau, akan menawarkan pakej cabutan bertuah sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 kepada kesatuan guru bagi memanfaatkan pakej cuti guru Malaysia sebagaimana pernah diuar-uarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini.