Israel, Amerika Syarikat kini terima tekanan dunia - Mapim

Iklan
Mohd Azmi (lima kanan) mewakili Mapim menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam Pattani untuk disalurkan kepada rakyat Palestin melalui Dr Ahmad Kamel (empat kiri).

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin pada hari ini adalah tindakan genosid iaitu jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat kini berdepan tekanan dunia dan bukannya hanya tekanan Gaza atau Palestin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jenayah tersebut jelas terbukti sedang berlaku di Palestin dan mana-mana pihak tidak boleh menafikan fakta berkenaan.

"Jenayah ini jelas terbukti, kes yang jelas ditakrifkan sebagai pembunuhan beramai-ramai dengan lima kriteria. Ia tidak dinafikan pembunuhan beramai-ramai, kita tidak boleh mengelak fakta bahawa ini adalah pembunuhan beramai-ramai.

Iklan

"Kedua, mereka bersalah kerana membersihkan etnik Palestin, bertujuan untuk mengusir secara paksa penduduk Gaza ke Sinai.

"Ketiga, mereka melakukan hukuman kolektif, menyasarkan Hamas tetapi mencederakan orang awam termasuk kanak-kanak dan orang tua dan memusnahkan hospital, ini tidak boleh diterima," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel, di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan masyarakat Islam Pattani, Thailand berjumlah RM173,500 untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin.

Mapim menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam Pattani berjumlah RM173,500 untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Thailand, Dr Ahmad Kamel Yusof.

Mohd Azmi berkata, Mapim berharap Kerajaan Malaysia meneruskan usaha memujuk negara lain agar sama-sama mengecam tindakan yang sedang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin.

Jelasnya, badan bukan kerajaan itu menyokong sebarang tindakan undang-undang antarabangsa yang sedang diusahakan oleh mana-mana pihak ke atas Israel.

"Pada masa ini, hanya 10 negara, nampaknya dipengaruhi oleh Amerika Syarikat, menyokong Israel, manakala 150 atau lebih negara, termasuk negara Barat, memilih untuk tidak menyokong.

"Hari ini Israel dan Amerika Syarikat berdepan dengan dunia, bukan hanya Gaza atau Palestin,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, Mapim juga memuji komitmen konsisten Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menolak gesaan mengecam tindakan Hamas dalam mempertahankan rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Mapim bersama Majlis Agama Islam Pattani akan bekerjasama untuk menyalurkan bantuan berbentuk makanan, ubatan, air minum dan baju sejuk. Penilaian terhadap keperluan mangsa di Gaza seperti tempat tinggal dan infrastruktur bekalan air dan elektrik juga akan dinilai.

Mohd Azmi berkata, kedua-dua pihak akan mengadakan kempen isu Palestin secara berterusan sama ada dari segi kemanusiaan mahupun advokasi keadilan untuk warga Palestin.

"Kami menilai keadaan di Gaza sangat parah. Infrastrukturnya juga banyak yang musnah.

"Status kemanusiaan terlalu genting dan yang terkorban sejak Israel menyerang Gaza sudah melebihi 19,000 orang sementara yang masih di bawah runtuhan bangunan akibat dibom ialah 8,000 orang. Lebih 70 peratus yang terkorban adalah kanak-kanak dan wanita,” jelas beliau.

Menurutnya, sehingga kini 192 masjid dan tiga buah gereja telah dimusnahkan, 290,000 rumah hancur, 32 hospital dan 60 ambulan diserang.

"Lebih 190 petugas kesihatan terbunuh termasuk 90 wartawan dan 200 petugas PBB terbunuh.

"Kami mengecam kezaliman Israel yang melanggar semua undang-undang antarabangsa dan melakukan genosid dan penghapusan etnik di Gaza secara terang-terangan tanpa dihukum,” kata Mohd Azmi.