KUALA SELANGOR - Luluh hati seorang ibu apabila melihat persiapan majlis perkahwinan anak perempuannya yang bakal diadakan Sabtu ini musnah dalam kebakaran di Lorong Intan B Kampung Parit Serong Tanjong Karang, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, sebuah motosikal yang diletak berhampiran tempat kejadian turut rentung dalam kebakaran rumah separa kayu dua tingkat berkenaan.
Martiah Jabar, 72, berkata, rumah yang dipenuhi kelengkapan perkahwinan anak bongsunya itu tidak sempat diselamatkan.
"Kalau diikutkan perasaan memang sedih apabila mengenangkan kejadian ini, lebih-lebih lagi tinggal empat hari sahaja lagi anak saya akan disatukan pada hari berbahagia.
"Semua barangan hantaran, cenderahati dan pakaian kami sekeluarga rentung begitu sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, semasa kejadian, dia bersama cucu dan saudara-mara berada di belakang rumah sedang sibuk bergotong-royong membuat persiapan perkahwinan tersebut.
"Saya sedang memasak nasi dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan dan terhidu bau terbakar, sebelum ternampak api membakar tiang kayu rumah.
"Saya kemudian memanggil cucu dan sempat melaungkan Allahuakbar beberapa kali kerana terkejut melihat api marak dari tingkat atas," jelasnya.
Bagaimanapun, kata Martiah, dia bersyukur kerana pada masa kejadian, suaminya, Marni Selamat, 76, sempat diselamatkan jiran.
"Suami saya ada masalah jantung dan semasa kejadian dia ada di tingkat bawah dan jiran yang nampak kejadian ini terus bantu membawanya keluar menyelamatkan diri," tambahnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh turut melawat mangsa kebakaran.
Beliau berkata, nasib menimpa keluarga itu amat menyedihkan lebih-lebih lagi berlaku hanya tinggal beberapa hari sahaja mereka bakal menerima menantu.
"Saya sendiri telah menghulurkan sumbangan peribadi berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak, tepung dan dapur gas untuk kegunaan keluarga ini.
"Kita harap, sumbangan ini dapat menampung mengurangkan beban keluarga tersebut," ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh terus berhubung dengan keluarga terbabit.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.43 pagi.
Beliau memberitahu, bantuan juga diterima dari BBP Sekinchan dan Kuala Selangor bagi membantu operasi memadam kebakaran tersebut.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat kelas A di sebuah tanah lot berkeluasan 16x28 meter persegi terbakar 80 peratus.
"Api berjaya dikawal oleh pihak bomba pada jam 12.08 pagi dan tiada mangsa terlibat dilaporkan dalam kejadian ini," tambah beliau.