SHAH ALAM - Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh bapa kandung empat tahun lalu, selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan dia mengalami ‘sakit otak’.
Bagaimanapun, tertuduh, Jamil Tawasil, 38, diperintah untuk diletakkan bawah penjagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama yang diperkenankan Sultan Selangor.
Menerusi penghakiman di laman web mahkamah, bertarikh 28 November, Pesuruhjaya Kehakiman, Wendy Ooi Su Ghee berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh melakukan perbuatan yang menjadi asas kepada pertuduhan, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, tertuduh didapati tidak waras ketika memukul mangsa dengan kayu dan menetaknya menggunakan pisau pemotong daging.
"Dia mengaku, ada suara di kepala, mengarahkan dia melakukan perbuatan itu dengan mengambil pisau dan kayu itu di dapur.
"Berdasarkan pemeriksaan mental dan keterangan pegawai penyiasat, lelaki itu dikatakan ternampak lembaga atau kayu, bukan bapanya yang terbaring di ruang tamu,'' kata penghakiman tersebut.
Beliau berkata, tertuduh didapati membunuh bapanya, tetapi disebabkan akalnya yang tidak waras, menyebabkan dia tidak berupaya untuk berfikir perbuatan itu ialah salah atau bertentangan dengan undang-undang.
Lebih-lebih lagi katanya, berdasarkan fakta kes, Jamil duduk dalam biliknya sambil menghisap rokok, ketika polis tiba di lokasi kejadian.
Susulan itu, mahkamah berpendapat bahawa tertuduh tidak waras kerana lelaki itu bukan sahaja tidak melarikan diri, malah tidak bertindak untuk melupuskan bahan bukti iaitu pisau pemotong daging dan kayu yang digunakannya untuk membunuh.
Beliau berkata, pemeriksaan mental tertuduh kemudian dibuat pada 21 November 2019 dengan rawatan bersesuaian.
Katanya, tertuduh didapati bertambah baik selepas diberi rawatan, layak dibicarakan dan mampu untuk membela diri.
Keterangan kes turut menyatakan tertuduh pernah menghidap skizofrenia dan mendapat rawatan di Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kuala Lumpur antara 2011 dan 2014 serta di Hospital Kajang.
Ibu tertuduh turut mengakui Jamil tidak meneruskan rawatan susulan yang diarahkan sehingga gejala yang dialaminya bertambah teruk mengakibatkan lelaki itu selalu mengurung diri, berkelakuan pelik dan mengabaikan penjagaan diri.
Berdasarkan keterangan lain, pada malam kejadian, ibu tertuduh yang juga saksi pendakwaan pertama (SP1) terjaga dari tidur selepas mendengar jeritan suaminya:"Jangan, apa ini, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.''
Wanita itu keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu lalu melihat Jamil memegang kayu dan menghayunnya ke kepala mangsa yang duduk di lantai.
Saksi ini terus berlari ke arah pondok pengawal keselamatan dan meminta pertolongan.
Polis yang tiba di rumah itu mendapati mangsa terbaring berlumuran darah atas lantai dalam keadaan separuh sedar dan mengalami luka di bahagian muka dan kepala manakala jari telunjuk tangan kanannya putus terkena tetakan pisau.
Seorang anggota polis menendang pintu bilik Jamil sehingga terbuka dan melihat lelaki itu duduk di lantai sambil menghisap rokok.
Hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati, terdapat retakan pada tulang tangan kanan, jari telunjuk tangan kanan putus dan punca kematian akibat trauma bahan tumpul di kepala.
Laporan perubatan forensik psikiatri bertarikh 31 Disember 2019 menyimpulkan bahawa, Jamil menghidap skizofrenia dan berada dalam keadaan tidak waras serta tidak sedar di atas sifat atau akibat perbuatannya.
Laporan itu turut menyatakan tertuduh mengalami delusi syak wasangka, delusi ganjil berkenaan dirinya, delusi pertukaran identiti selain mendengar bisikan suara halus dan halusinasi visual.
Mengikut pertuduhan, Jamil didakwa membunuh Tawasil Sinag, 68, di sebuah rumah di Taman Puteri Taragon, Batu 9 Cheras, Hulu Langat dekat sini, antara jam 11 dan 11.15 malam, 9 November 2019.