KAMPAR - Seorang bekas pegawai bank yang kini menjalani hukuman penjara bagi kesalahan menipu berhubung pelaburan wang tidak wujud hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan sama membabitkan wang berjumlah RM17,350.
M Patmanathan, 43, yang mengaku tidak bersalah, didakwa memperdaya tiga individu supaya menyerahkan wang masing-masing sebanyak RM1,550; RM3,500 dan RM7,300 untuk pelaburan tidak wujud mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menipu seorang individu supaya menyerahkan RM5,000 bagi mendapatkan keuntungan daripada pelaburan sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Kampar di antara 25 Mac 2019 dan Januari 2023.
Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam Manal Hayati Mohd Arif memohon jumlah minimum atas alasan dua anak tertuduh masih bersekolah dan dia kini menjalani hukuman penjara sejak enam bulan lepas.
Majistret A Hafiizh Abu Bakar, yang menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes, membenarkan Patmanathan diikat jamin RM8,500 bagi semua pertuduhan.
Pada 12 Julai lepas, bekas pegawai bank itu telah didakwa atas dua pertuduhan menipu berhubung pelaburan sama membabitkan kerugian lebih RM110,000. - Bernama