SELEPAS seminggu melahirkan anak keduanya, penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat mengikut sunnah untuk mengumumkan nama puteranya.
Memilih nama Aali Mateen, isteri kepada pengacara Nabil Mahir itu mengakui mengambil masa lama untuk memilih nama sesuai buat puteranya itu.
"Nama saya Aali Mateen Ahmad Nabil.
"Lama jugak memikirkan nama untuk putera kami, Aali Mateen ini," kongsinya.
Sama seperti semua ibu bapa yang lain, bintang Bukan Cinta Sempurna itu berharap Aali membesar menjadi anak yang soleh.
"Doakan yang baik-baik untuk Aali Mateen ya semua!" tulis Ayda menerusi Instagramnya.
Dalam hantaran sama, Ayda turut memuat naik foto anak lelakinya itu yang memakai topi bayi sehingga menutup bahagian matanya.
Terdahulu, pada 12 Disember lalu Nabil dan Ayda mengumumkan kelahiran anak kedua mereka yang dilahirkan secara pembedahan.
Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan dikurniakan anak pertama, Ana Nayla, 2, pada 21 September tahun yang sama.