Covid-19: Jangan biar episod duka berulang kembali

Iklan
KKM mengumumkan kerajaan tidak bercadang untuk mengulangi sekatan seperti PKP dalam usaha mengekang lonjakan jangkitan Covid-19. - Gambar Bernama

PADA 12 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan jangkitan koronavirus (Covid-19) menjadi penyebab penyakit pernafasan sekelompok penduduk di Bandar Wuhan, Wilayah Hubei, China, sebagaimana dilaporkan WHO pada 31 Disember 2019.

Sementara di Malaysia, pada 23 Januari 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menerima laporan tiga kes (dua di Sabah dan satu di Selangor) disyaki dijangkiti Covid-19, bagaimanapun kes di Sabah negatif.

Iklan
Iklan

Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengesahkan kes pertama Covid-19 babitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari dan dalam masa sama, KKM menasihatkan jangan melancong ke China jika tiada keperluan.

KKM turut menambah alat imbasan suhu badan di pintu masuk negara.

Biarpun segala kesiapsiagaan mengendali kes disyaki jangkitan Covid-19 telah dilakukan, virus itu akhirnya dapat menembusi tembok negara malahan berjaya menawan dunia selama tiga tahun.

Iklan

Itu semua rentetan sejarah tiga tahun lepas. Kelmarin, KKM mengumumkan kerajaan tidak bercadang untuk mengulangi sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang lonjakan jangkitan Covid-19.

Angka jangkitan Covid-19 pada Minggu Epidemiologi (ME50) dari 10 hingga 16 Disember menunjukkan sebanyak 20,077 kes atau 97 peratus berada pada kategori satu dan dua.

Iklan

Daripada jumlah kes baharu dilaporkan, seramai 151 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan dan 28 kes kematian dilaporkan melibatkan 85 peratus pesakit berusia 60 tahun ke atas dan 93 peratus mempunyai komorbiditi.

Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama akan diperkukuhkan melibatkan pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-COV-2 melalui sistem amaran awal.

Trauma Covid-19 masih berbekas di hati seluruh rakyat Malaysia. Ada yang hilang insan tersayang secara mendadak, anak-anak menjadi yatim piatu dan ramai hilang kerja bertahun lamanya.

Walau apapun langkah diambil oleh kerajaan, diharap tindakan lebih tegas dilaksanakan supaya episod gelap masa lalu tidak akan berulang kembali.