KOTA BHARU – Seorang pembuat barangan besi dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Kelantan di Jambatan Tendong, di sini pada Selasa.
Lelaki itu, Mohd Zulhilmi Mohd Zamri, 37, disedari terjatuh pada jam 2.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Mohd Suhaimi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat yang diterima, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengatur gerak mencarinya pada bermula jam 3 petang.
"Lelaki ini jatuh dari jambatan dan masih belum ditemui.
"Operasi semalam (Selasa) ditamatkan pada jam 7 petang manakala bersambung mulai 7 pagi hari ini (Rabu),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Rabu.
Ujar Mohd Suhaimi, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.
"Pihak polis mengingatkan agar tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa,” kata beliau.