ALOR GAJAH - Seorang pesara polis di sini bersemangat untuk melakukan kembara dengan menunggang Vespa ke negara Kemboja bermula Selasa ini.
Bapa kepada 18 orang anak itu, Rahim Amat, 72, berkata, idea untuk melakukan kembara sejauh 4,000 kilometer (km) itu selepas mengadakan misi kembara ke berapa lokasi termasuk Thailand baru-baru ini.
Menurutnya, pada awalnya dia mahu mengembara secara solo dengan ditemani Vespa berusia lebih 50 tahun itu, namun atas faktor usia dia memutuskan untuk memulakan kembara dengan lima individu lain termasuk anak lelakinya yang berusia 25 tahun.
Katanya, empat lagi rakannya dari Johor, Perak dan Kelantan akan bersama untuk merealisasikan hasrat mengembara dengan Vespa tua selama 12 hari.
"Disebabkan tiada jalan darat untuk ke Indonesia jadi saya memilih untuk ke Kemboja.
"Saya berminat ke Kemboja kerana nak tahu mengenai sejarah negara itu. Dahulu, rakyatnya pernah dianiaya, diseksa dan melalui kesempitan hidup," katanya ketika ditemui dI kediamannya di Kampung Pulau Sebang di sini, pada Rabu.
Rahim yang fasih berbahasa Tamil berkata, menjangkakan kembara tersebut akan singgah ke negara seperti Myanmar, Laos dan Vietnam sekali gus dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara negara itu.
Ujarnya, paling penting akan membawa nama negara, bendera negeri Melaka dan Jalur Gemilang supaya orang luar dapat lebih mengenali Malaysia dan dapat mempromosikan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
"Usaha yang kami lakukan ini begitu kecil namun berharap rakyat negara ini dapat memberikan sokongan dan galakan untuk kami menjayakannya," ujarnya lagi.
Rahim berharap orang ramai yang bermurah hati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 05021020128990 atas nama Rahim Amat bagi meringankan kos perjalanan ke negara berkenaan.