Kontraktor tak bertanggungjawab punca jalan rosak, kemalangan dua motosikal

Iklan
Keadaan jalan di Jalan Persiaran Majlis, Bukit Beruntung yang berlubang.

HULU SELANGOR - Sikap tidak bertanggungjawab kontraktor pembinaan mengorek jalan di Jalan Persiaran Majlis, Bukit Beruntung di sini dipercayai menjadi punca jalan tersebut rosak sekali gus menyebabkan kemalangan berlaku.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dalam satu kenyataan menjelaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu percaya kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal pada Isnin lalu juga berpunca daripada kerosakan jalan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kerosakan jalan di Jalan Persiaran Majlis, Bukit Beruntung adalah disebabkan kerja korekan jalan oleh pihak ketiga iaitu kontraktor pembinaan bagi membina sebuah kilang di Jalan Kantan yang dilaksanakan tanpa kebenaran dan kelulusan MPHS.

"Tindakan kompaun dikenakan kepada pelaku di bawah Akta 133 Seksyen 39(2) atas kesalahan merosakkan tempat turap yang telah dikeluarkan pada April lalu," kata kenyataan itu.

Iklan

Menurut kenyataan itu, untuk tindakan awal pihak jabatan juga telah mengarahkan kerja-kerja mengorek jalan tersebut dihentikan dan pihak kontraktor terbabit juga diarah menurap semula jalan di Persiaran Majlis, Bukit Beruntung.

Jalan rosak ditampal selepas arahan dikeluarkan MPHS kepada pihak kontraktor terbabit.

"Namun selepas itu berlaku semula mendapan akibat daripada kerosakan lapisan dasar jalan dan pihak majlis sekali lagi mengeluarkan arahan kepada pelaku untuk menurap semula jalan tersebut pada Julai lalu.

Iklan

"Pada 16 Disember, MPHS mendapati masih terdapat kerosakan pada jalan sama dan pemilik kilang diarah untuk membaiki jalan tersebut yang dirancang untuk melaksanakan kerja pembaikan pada Isnin iaitu 18 Disember.

"Walau bagaimanapun, berlaku satu kemalangan melibatkan dua motosikal yang melalui jalan itu selepas dikatakan melanggar lubang di kawasan berkenaan," katanya.

Tambah kenyataan itu, MPHS telah mengeluarkan kompaun buat kali kedua kepada pemilik kilang di atas kesalahan sama dan mengarahkan kerja-kerja tampalan segera dibuat.

Jalan rosak ditampal selepas arahan dikeluarkan PBT.

"Satu siasatan di lokasi dilakukan pada 18 Disember bersama pemilik kilang dan mendapati kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan.

"Jabatan juga telah mengarahkan pemilik kilang untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dasar jalan dan turapan penuh ke atas keseluruhan jalan yang rosak akibat aktiviti kerja korekan tersebut dalam masa terdekat," katanya.