AZAZ (Syria) - Peperangan di Syria kira-kira sembilan tahun lalu bukan sahaja memusnahkan kehidupan banyak keluarga tetapi juga ramai hilang tempat tinggal dan harta benda.
Ramai daripada mereka yang menyelamatkan diri selepas kediaman dibom rejim Syria dengan mencari perlindungan di kem-kem pelarian di seluruh negara ini.
Luay Abdulrazak Alhamadi, 43, dari Kem Pelarian Farok di sini berkata, semua rumah di kampung halamannya di Idlib iaitu kira-kira 170 kilometer dari daerah ini musnah selepas dibom.
"Bagi menyelamatkan diri, kami tinggal di kem pelarian ini sejak empat tahun lalu bersama-sama isteri dan 10 anak. Saya tidak mempunyai pekerjaan sehingga kini.
"Situasi di kem pelarian ini yang menempatkan ratusan keluarga amat susah dan memerlukan bantuan. Kami berterima kasih dan bersyukur untuk bantuan yang diterima dari Malaysia , ALLAH akan rahmati mereka yang memberikan sumbangan ini," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan makanan daripada Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave (Econsave) di kem pelarian berkenaan pada Rabu.
Sumbangan disampaikan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar merangkap Penasihat MyCare Johor dan Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani.
Seorang lagi penghuni di kem pelarian tersebut, Ibrahim Hussain Alrazuk, 53, berkata, dia tidak lagi bekerja selepas menggunakan tongkat akibat sendi pada lutut kanannya cedera.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, rumahnya di Aleppo turut musnah dalam satu tragedi bom sebelum melarikan diri dan tinggal di kem pelarian tersebut sejak empat tahun lalu.
Sementara itu, Mas Imran berkata, Econsave dan MyCARE menyampaikan sumbangan kotak makanan mengandungi antaranya beras, gula, minyak masak, kekacang, sos dan tomato kepada 200 keluarga di kem pelarian berkenaan.
"Setiap keluarga menerima dua kotak berisi barang makanan tersebut. Ini bagi meringankan beban keluarga di kem pelarian di sini," ujar beliau.
Selain itu, pihak MyCARE dan Econsave turut menyumbangkan set makanan panas dan minuman kepada 300 keluarga di Kem Pelarian Zaitun di sini.