Lelaki, tunang tak mengaku rompak gelang emas nenek

Iklan
Seorang lelaki dan tunangnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Rabu atas pertuduhan merompak gelang tangan seorang warga emas sehingga mengakibatkan kecederaan kepadanya. - Gambar hiasan

MELAKA - Seorang lelaki dan tunangnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Rabu atas pertuduhan merompak gelang tangan seorang warga emas sehingga mengakibatkan kecederaan kepadanya.

Muhammad Shahezaimie Kamarudin, 19, dan Nurul Sakina Ali Mohammad, 22, serta seorang lelaki yang masih bebas, didakwa merompak gelang tangan itu secara paksa daripada Che Ahmah Buang, 74, yang merupakan nenek kepada Nurul Sakina dengan menekup mukanya dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Iklan
Iklan

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bukit Katil, daerah Melaka Tengah pada 6.30 petang 7 Disember lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh, namun peguam Umar Zulkarnain yang mewakili mereka memohon jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya bekerja di sebuah pusat permainan go-kart dan penjaga stor.

Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 30 Januari. - Bernama

Iklan