GOMBAK - Seorang lelaki melecur dalam kebakaran tiga kilang di kawasan perusahaan Batu Caves di sini pada Rabu.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor menerima panggilan kejadian itu pada jam 11.49 pagi.
Menurutnya, kebakaran itu membabitkan kilang cat, kilang alat ganti dan kilang pembungkusan.
"Mangsa berusia 50-an yang juga pekerja kilang cat melecur di bahagian tangan.
"Mangsa kemudian dirawat oleh pasukan perubatan yang menaiki ambulans sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, sebanyak 13 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bersama bantuan BBP Wangsa Maju, Rawang, Damansara, Sungai Buloh, Pandan Indah, Hang Tuah dan Ampang bergegas ke lokasi kejadian.
"Kilang cat terbakar 90 peratus, manakala kilang alat ganti dan kilang pembungkusan terbakar 20 peratus, kebakaran itu terkawal pada jam 1.07 petang," katanya.