Kajian menyeluruh perangi jenayah dalam talian bakal dilaksana

Iklan
Sebanyak RM173,339,234.73 kerugian akibat jenayah dalam talian direkodkan setakat 30 November lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Azalina)

PUTRAJAYA - Kerajaan bakal melaksanakan satu kajian menyeluruh termasuk kajian perbandingan dan konsultasi awam bagi memerangi jenayah dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian itu akan dibuat menerusi Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dalam tempoh tiga bulan mulai Januari 2024 dengan kerjasama ahli akademik di universiti tempatan.

Iklan
Iklan

"Ia sebagai tindak balas kepada cabaran yang semakin meningkat disebabkan ancaman jenayah dalam talian dan Kerajaan Perpaduan menggiatkan usaha serta komitmen untuk memerangi jenayah ini melalui reformasi perundangan selaras dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan dan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk terus menangani isu jenayah dalam talian bagi memastikan kewujudan persekitaran digital yang selamat untuk rakyatnya.

Iklan

Tambahnya, sebanyak RM173,339,234.73 kerugian akibat jenayah dalam talian direkodkan setakat 30 November lalu.

"Sejumlah 8,213 kertas siasatan dibuka oleh NFCC, polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bank Negara (BNM) yang turut melibatkan 529 akaun yang dibekukan dengan nilai

Iklan

RM65,939,700.51," katanya.

Sebelum itu, Azalina mempengerusikan mesyuarat bersama BHEUU, NFCC, Jabatan Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN), BNM dan SKMM.